Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar dari mahkamah selepas mendengar penetapan tarikh perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan menerima wang hasil aktiviti haram serta pendengaran permohonan beliau untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada melaporkan perbincangan berkaitan merit kes dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2018.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar dari mahkamah selepas mendengar penetapan tarikh perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan menerima wang hasil aktiviti haram serta pendengaran permohonan beliau untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada melaporkan perbincangan berkaitan merit kes dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan perintah tegahan (gag order) bagi menghalang perbicaraan awam terhadap kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Keputusan tersebut dibuat oleh hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendengar hujah daripada pihak peguam bela Najib dan pendakwa raya selepas lebih lima jam sejak 9.25 pagi tadi.

Kata beliau, situasi terkini dilihat tidak mengundang keperluan untuk perintah tegahan dikeluarkan mahkamah. 

Terdahulu salah seorang peguam Najib, Harvinderjit Singh dalam kamar Mahkamah Tinggi 3 berkata, permohonan tersebut bukan untuk menghalang kebebasan media tetapi untuk mengelakkan media dan orang awam menyebarkan perkara yang tidak sepatutnya sebelum kes Najib dibicara. 

“Kami bukannya nak menghalang media untuk tulis tentang kes ini tetapi kami kami orang awam berhenti cakap apa yang tidak sepatutnya dikatakan,” katanya semasa berhujah. 

Namun pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Datuk Mohd Hanafiah Zakar berkata, Najib boleb mengambil tindakan terhadap media yang dianggapnya melaporkan berita yang bersifat fitnah dan tuduhan. 

Perintah tegahan disifatkannya sia-sia jika diluluskan apabila media antarabangsa masih bebas membuat laporan tentang kes Najib. 

“Sia-sia minta ‘gag order’ sebab media antarabangsa masih boleh report. Masih ada cara seperti undang-undang hinaan untuk hukum mereka yang subjudis tak perlu nak ‘gag order’,” ujarnya. 

Shafee dalam pada itu berkata, pihak peguam bela Najib akan membuat permohonan rayuan perintah tegahan pada Isnin depan.

Beliau berkata, hakim mengingatkan agar tidak ada komen berbentuk subjudis mengaitkan Najib dan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. 

“Tetapi beliau (hakim) ada menyebut seolah-olah amaran kepada semua bahawa komen yang subjudis tidak boleh dibuat kerana ada undang-undang,” ujar Shafee kepada pemberita ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi. 

Tarikh perbicaraan bagi tujuh pertuduhan Najib ditetapkan pada 12 hingga 28 Febuari dan 4 hingga 29 Mac. 

Kesemua pertuduhan bakal dibuat dalam satu perbicaraan.

Manakala pengurusan kes akan dibuat 4 Oktober ini.   -MalaysiaGazette