Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan surat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman (tiga kiri) kepada Pengerusi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (empat kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2018.
Gambar arkib: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan surat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman (tiga kiri) kepada Pengerusi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (empat kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) baru-baru ini. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR- Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menyangkal dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan syarikat tersebut membeli Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) pada harga 10 kali lebih tinggi daripada nilai sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, nilai buku bersih SPLASH yang telah disahkan oleh tiga pihak badan bebas seperti RHB Investment Bank, Deloitte dan Ernst & Young mendapati syarikat tersebut bernilai di antara RM2.5 bilion sehingga RM2.8 bilion.

“Di dalam ketiga-tiga kes yang diketengahkan di atas, RM2.55 bilion yang ditawarkan oleh Air Selangor lebih rendah daripada nilai-nilai yang disahkan.

“Tawaran yang dibuat oleh Air Selangor adalah bersamaan dengan diskaun sebanyak 28 peratus ke atas nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun 2018 iaitu sebanyak RM3.54 billion. Nilai tawaran sebanyak RM2.55 bilion juga cuma mewakili 54 peratus daripada hutang tertunggak sebanyak RM4.7 bilion yang dihutang kepada SPLASH, iaitu diskaun sebanyak 46 peratus.

“Air Selangor juga membantah dan menolak dengan sekeras-kerasnya dakwaan yang keistimewaan diberikan kepada SPLASH. Sebaliknya, diskaun yang lebih tinggi digunakan untuk pengambilalihan SPLASH jika dibandingkan dengan diskaun yang digunakan di dalam pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) pada tahun 2015, sebuah syarikat rawatan air yang terdahulunya dimiliki Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Di dalam transaksi PNSB, Air Selangor telah membayar harga yang bersamaan dengan 0.86 kali nilai buku bersih, iaitu diskaun sebanyak 14 peratus ke atas nilai buku bersih aset konsesi air PNSB. Di dalam transaksi tersebut, Air Selangor tidak mengambilalih aset bukan konsesi air yang dimiliki PNSB.

“Di dalam transaksi SPLASH pula, nilai tawaran Air Selangor bersamaan dengan 0.72 kali nilai buku bersih SPLASH, iaitu diskaun sebanyak 28 peratus ke atas nilai buku bersih SPLASH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Suhaimi, angka RM250 juta yang dipetik Khalid adalah berdasarkan kadar pulangan sebanyak 12 peratus ke atas pelaburan saham yang telah dibuat sejak perjanjian konsesi bermula dikira dari permulaan perjanjian konsesi pada Januari 2000 sehingga 31 Disember 2012 dan setelah ditolak dengan dividen yang telah dibayar sebelum ini.

“Angka inilah yang berjumlah RM250 juta yang telah ditawarkan kepada pemegang saham SPLASH pada tahun 2013. Berdasarkan kenyataan kewangan SPLASH yang telah diaudit, nilai buku bersih SPLASH pada 31 March 2013 adalah RM1.84 bilion. Tawaran berjumlah RM250 juta ini yang dibuat mulai tahun 2013 adalah pada diskaun sebanyak 86 peratus kepada nilai buku bersih SPLASH.

“Akibat daripada pengambilalihan SPLASH yang telah tertangguh selama 5 tahun, jumlah tertunggak yang dihutang kepada SPLASH untuk pembelian air terawat kini telah mencecah RM4.7 bilion. Oleh demikian, pada April 2018, SPLASH telah memulakan prosiding undang-undang ke atas hutang yang tertunggak,” tegasnya.

Menurut Suhaimi, banyak manfaat yang bakal diperolehi dengan pengambilanalih SPLAS antaranya semua bon dan pinjaman yand dihutang oleh keempat-empat syarikat konsesi air yang berjumlah lebih RM8 billion akan diambilalih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan distruktur semula sebagai bayaran sewa pajakan.

Hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang melebihi RM 1.1 billion bagi pelbagai projek berkaitan air juga akan distruktur semula sebagai bayaran sewa pajakan.

Begitu juga dengan perjanjian-perjanjian konsesi yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat swasta akan ditamatkan. Tiada lagi keuntungan berganda sebagaimana yang dulunya dinikmati oleh syarikat-syarikat konsesi swasta seperti SPLASH apabila semua perjanjian konsesi diberikan kepada syarikat-syarikat swasta ditamatkan.

Kadar bekalan asas (base supply rate, BSR) bagi pembekalan air terawat oleh SPLASH pada kadar sebanyak RM1.37 semeter padu (m3) akan turun ke kadar yang lebih munasabah iaitu bermula dari di antara 42 hingga 44 sen se m3.

Pengurangan kos operasi hasil dari penstrukturan semula industri bekalan air di mana Air Selangor muncul sebagai syarikat tunggal yang memproses, merawat dan mengagihkan air terawat akan memberi kesan positif ke atas tahap keberkesanan operasi Air Selangor.

“Penyelesaian penstrukturan bekalan air juga akan membuka peluang untuk terma pembiayaan yang lebih baik bagi projek perbelanjaan modal (capex) yang dilaksanakan melalui sumber pembiayaan oleh PAAB.

“Dengan pembiayaan oleh PAAB, tempoh bayaran melalui kaedah sewa pajakan akan dibuat secara jangka masa panjang iaitu selama tempoh 45 tahun dengan kadar yang lebih rendah berbanding dengan pinjaman komersil selain itu projek-projek air yang berkaitan dengan sumber air pula seperti empangan akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukkan geran,” tambahnya.-MalaysiaGazette