KUALA LUMPUR — MCA akan menggunakan logo partinya sendiri dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Bagaimanapun, presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia bukan bermakna MCA berhasrat mahu keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa pusat parti selepas mengambil pandangan akar umbi.

“Kami menerima sokongan padu akar umbi yang mahu MCA menggunakan logonya sendiri bertanding dalam PRK Balakong ini,” katanya di Wisma MCA hari ini.

Menurut Tiong Lai, calon-calon sudah disenaraipendek dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Seorang Ahli Jawatankuasa MCA Pusat, Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik menjadi pengerusi kempen bagi PRK Balakong nanti.

Mengenai ura-ura keluar BN, Tiong Lai menafikannya kerana salah satu parti yang mengasaskan BN itu ialah MCA sendiri.- MalaysiaGazette