Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 10 OGOS 2018

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memandang serius beberapa  perkara berkaitan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menjadi isu sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, banyak perkara diteliti tentang itu dan ia menjadi satu isu penting kerana melibatkan pandangan ramai.

“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya mereka faham betapa pentingnya mereka perlu sensitif terhadap pandangan orang ramai.

“Kalau nak sokongan kena sensitif terhadap pendapat mereka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat parti pimpinan PPBM di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, PH didakwa mencadangkan MARA untuk dipecahkan ke beberapa kementerian sekaligus mengecilkan peranannya dalam membantu Bumiputera.

MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam Persekutuan khususnya di kawasan luar bandar.

Pada sidang media berkenaan juga Dr Mahathir berkata, sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk kerajaan menambah gaji penjawat awam.

  • Ini kerana katanya, jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai sehingga 1.6 juta menyebabkan potensi kerajaan untuk menambah gaji mereka terbatas lebih-lebih lagi dengan kewangan yang terhad.

“Bukan masa yang tepat bagi kita untuk memberi gaji yang lebih tinggi kepada penjawat awam.

“Kami mempunyai prinsip dan tidak dapat melakukan dengan segera (penambahan gaji) kerana kedudukan kewangan kami. Kami majikan yang besar,” ujarnya. – MalaysiaGazette