Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih gagal menurunkan harga barang meskipun Cukai Barangan dan Jualan (GST) telah disifarkan selama tiga bulan membuktikan sistem percukaian itu bukanlah punca kenaikan kos sara hidup atau harga barangan yang didakwa oleh mereka sebelum ini.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebaliknya kenaikan harga barang ditentukan oleh permintaan dan penawaran, bekalan bahan mentah, kualiti barang dan pertukaran mata wang.

Lantaran itu, bekas Menteri Kewangan Kedua itu mempertahankan GST yang telah dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan adalah sistem percukaian yang paling telus, cekap dan mampu memberi pendapatan yang tinggi kepada kerajaan.

Disebabkan kelebihan itu, lebih 170 buah negara di dunia ini telah melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

Kerajaan Barisan Nasional mengutip sejumlah RM42 bilion hasil daripada GST tahun lalu.

Jelas beliau, walaupun Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengena 60 peratus barangan dengan GST tetapi kadarnya adalah 6 peratus sahaja.

Berbanding, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) membabitkan 30 hingga 38 peratus barangan namun kadar yang dikenakan 10 peratus.

“Kita dulu mengenakan 60 peratus barangan dengan GST tetapi duit yang kita dapat diagihkan kepada BR1M, nelayan, petani.

“Tetapi mungkin Pakatan Harapan kata kita kenakan 38 peratus barangan tetapi tidak perlu agihkan pendapatan lagi, contohlah.

“Kita dulu pun boleh buat 38 peratus sahaja barangan yang dikenakan GST tetapi tak payahlah bagi (bantuan). Kita kutip dari orang-orang yang kaya untuk diberikan kepada golongan yang tidak berkemampuan,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online.

Johari berkata, meskipun sistem Kerajaan BN dan PH berbeza tetapi tidak salah jika kerajaan baharu mengekalkan sistem percukaian itu tetapi menurunkan 60 peratus barangan yang dikenakan GST kepada 38 peratus seperti yang mahu dilakukan dalam SST.

“Apa salahnya guna GST. Beritahu pada rakyat yang kita nak tukar 60 peratus barangan dikenakan GST diturunkan kepada 38 peratus tetapi bantuan seperti BR1M kita nak potong, bantuan petani, nelayan, subsidi nak potong,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan pelbagai bantuan untuk memastikan rakyat terus berbelanja, sekaligus ia memberi kesan pelbagai kepada rantaian ekonomi dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar.

Selain itu, katanya, sistem GST telah membuktikan Malaysia dapat menangani daripada ekonomi gelap kerana setiap perniagaan perlu berdaftar. – MalaysiaGazette