Datuk Salahuddin Ayub mahu mengubah persepsi dan tanggapan bahawa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hanya membantu orang Melayu.

JOHOR BAHRU – Datuk Salahuddin Ayub mahu mengubah persepsi dan tanggapan bahawa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hanya membantu orang Melayu.

Menteri dari Parti Amanah Negara itu bagaimanapun mengakui penstrukturan semula kementerian tidak senang dilakukan kerana perlu membersihkan banyak “sampah” dan “epal buruk” .

“Jika kami tidak membersihkan sampah-sampah yang disapu ke bawah karpet, maka ia akan menjadi busuk pada masa depan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Salahuddin berkata, beliau bersedia menerima pandangan semua pihak dan membantu mereka menyelesaikan masalah.

“Hampir seratus orang mahu berjumpa saya setiap hari, tetapi saya hanya mampu berjumpa maksimum 15 orang sehari dari jam 7.30 hingga 9.30 malam,” katanya.

Salahuddin berkata, beliau terpaksa mengorbankan masa tidur dan hanya dapat melelapkan mata empat jam sehari selepas menerima pelantikan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sebagai peneraju sebuah kementerian besar, Salahuddin berjanji akan memberi kebebasan kepada penjawat awam dan sesekali tidak akan memaksa mereka menyertai aktiviti parti politik.

“Saya akan beri kebebasan dan tidak akan mengizinkan mereka menjadi abdi politik,” katanya yang menegaskan kepentingan pemisahan antara pentadbiran dengan politik. – MalaysiaGazette