Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Kedua yakin sepenuhnya bahawa wang tuntutan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berjumlah RM19.24 bilion tidak hilang.

Sebaliknya, kekurangan wang itu disebabkan jumlah tuntutan GST itu tidak diambil daripada Kumpulan Wang Dikumpulkan untuk dimasukkan dalam Tabung Bayaran GST.

Meksipun Menteri Kewangan secara berterusan menuduh kekurangan dana itu disebabkan kelemahan dan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional menguruskan kewangan dengan baik, tetapi Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Lim Guan Eng tidak bersalah.

Ini kerana, beliau seorang menteri baharu dan tidak memahami integriti dalam pengurusan Kumpulan Wang Disatukan.

Sepatutnya, katanya, pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Perbendaharaan memberi penjelasan kepada Guan Eng berhubung perkara tersebut.

Jelas Johari, berdasarkan pengetahuannya, Kumpulan Wang Disatukan mempunyai tunai antara RM18 bilion hingga RM20 bilion yang simpan dalam bentuk deposit tetap.

Sepatutnya, wang yang disimpan dalam Kumpulan Wang Disatukan itu dikeluarkan untuk diletakkan dalam Tabung Bayaran GST

Katanya, bayaran tidak dimasukkan terus ke dalam Tabung Bayaran GST kerana jumlah wang yang sepatutnya mestilah spesifik kerana dana tabung berkenaan untuk bayaran tuntutan cukai tersebut sahaja.

Wang perlu diambil dari Kumpulan Wang Disatukan kerana ia adalah undang-undang yang diamalkan oleh kerajaan.

Tetapi sebelum ambil, Kastam dan Perbendaharaan perlu pastikan wang yang dituntut itu adalah betul, dokumen yang diaudit untuk memastikan dokumen-dokumen yang dilampirkan bukan tipu.

“Kumpulan Wang Disatukan ada tunai sebanyak RM18 bilion hingga RM20 bilion pada bila-bila masa yang disimpan dalam bentuk deposit tunai.

“Kalau Pakatan Harapan kata Tabung Bayaran GST tidak ada duit, bulan 5, bulan 6, bulan 7 tak masuk (duit), masukkanlah. Ambil duit dari Kumpulan Wang Disatukan, masukkan dalam Tabung GST. Kenapa tak masukkan,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online malam tadi.

Kenyataan Johari menjawab pertikaian yang dibangkitkan oleh Guan Eng tentang kekurangan dana sebanyak RM19.24 bilion yang perlu dibayar untuk tuntutan bayaran semula GST.

Johari mengakui jika benar wang berkenaan hilang, sudah tentu kerajaan terdahulu tidak bertanggungjwab tetapi perlu dipastikan juga tidak ada kesilapan oleh kakitangan-kakitangan yang mengendalikan Tabung Bayaran GST itu.

Ini kerana, tambahnya, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak campur tangan dalam operasi harian menguruskan Tabung Bayaran GST, sebaliknya ia dikendalikan oleh pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Perbendaharaan.

Lantaran itu, kata Johari, beliau menyokong sepenuhnya tindakan Khairy Jamaluddin yang membuat laporan polis selepas Pakatan Harapan mendakwa kehilangan wang tuntutan GST itu telah ‘dirompak’ oleh kerajaan terdahulu.

“Saya harap polis menyiasatnya, sebab saya pun nak tahu ke mana RM19 bilion tu,” ujarnya.

Namun begitu, katanya, kekurangan dana untuk membayar balik GST boleh berlaku memandangkan kerajaan baharu telah mensifarkan GST selama tempoh tiga bulan.

Sedangkan pada masa sama, peniaga-peniaga masih mempunyai stok-stok, kerja-kerja material dan barangan peringkat terakhir dan masih melaksanakan progres kerja.

Dengan nada semangat, Johari yang juga bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, beliau bersedia untuk bersama-sama mengesan wang tersebut jika dibenarkan memasuki Kementerian Kewangan.

“Cuba bagi saya masuk, tentu saya boleh jelaskan,” katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan terdahulu menunjukkan di mana wang sebanyak itu berada, jika ia tidak hilang.

Johari juga tidak menolak kemungkinan kehilangan wang itu boleh berlaku jika ia telah digunakan untuk perbelanjaan mengurus memandangkan kerajaan telah kehilangan pendapatan dalam tempoh tiga bulan lalu selepas menghentikan kutipan GST.

GST dihentikan pada 1 Jun lalu bagi menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette