Sivaraajh Chandran.
Sivaraajh Chandran.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan fokus bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan melibatkan seramai 296,593 pemohon dalam kalangan masyarakat India.

Langkah itu adalah bagi merungkai dakwaan sebelum ini  terdapat sejumlah 300,000 masyarakat India di negara ini belum mendapatkan kewarganegaraan, kata Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivaraajh Chandran.

Perkara itu sepatutnya dilakukan oleh kerajaan baharu dalam tempoh 100 hari pentadbiran berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum PRU-14, ramai pemimpin dari PH telah membuat pelbagai kenyataan dan tuduhan terhadap perkara ini.

“Misalnya, YB Senator Waythamoorthy, Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hampir 300,000 orang dari Masyarakat India di Malaysia tidak diberi taraf kewarganegaraan manakala selepas PRU, YB Kula Segaran, Menteri Tenaga Manusia pula pernah menyatakan bahawa bilangan tersebut hanya berjumlah 30,000 sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sivaraajh turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan PH di atas keprihatian kerajaan dalam perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau mengingatkan bahawa usaha untuk mengenal pasti dan mendaftarkan 3,407 pemohon bagi urusan itu sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad adalah hasil usaha Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini melalui Program MyDaftar. – MalaysiaGazette