Lelongan kapal pesiaran mewah 'Equanimity’ yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah menarik minat pembeli daripada rantau Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Kapal mewah Tranquility yang dahulunya dikenali sebagai Equanimity.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyangkal dakwaan bahawa tindakan menyita kapal Equanimity oleh kerajaan adalah tidak sah dan merampas prosiding negara lain.

Beliau berkata ini kerana kerajaan Amerika Syarikat telah menyatakan persetujuan supaya kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia sebaik sahaja kapal layar itu tiba di negara ini.

“Tindakan penahanan kapal Equanimity dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang Malaysia dan dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran penahanan atau waran tangkap terhadap kapal Equanimity yang dilaksanakan apabila kapal itu sampai di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos, 2018,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azalina sebelum itu meminta kerajaan menyatakan sejauh mana kebenaran dakwaan peguam kepada ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low bahawa tindakan sita terhadap kapal Equanimity oleh kerajaan Malaysia adalah tindakan tidak sah dan dikatakan merampas prosiding negara lain.

Liew berkata pada masa ini kerajaan masih menunggu kepulangan  Jho Low untuk menuntut kapal yang dikatakan dibeli menggunakan dana penyelewengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sebuah portal berita pada Ahad melaporkan bahawa Jho Low menyatakan tindakan kerajaan menyita kapal layar Equanimity sebagai tidak sah.

Menurut laporan itu, Jho Low menerusi peguamnya menuduh bahawa tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai ‘merampas’ prosiding undang-undang negara lain selain menyelar kenyataan kerajaan yang mahu menjualnya secepat mungkin bagi mengelak penyusutan nilai.

—  BERNAMA