Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU – Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membidas Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mendakwa UPKO penyebab PBS kini di pihak pembangkang.

Tangau menafikan UPKO telah menyebabkan PBS menjadi pembangkang selepas parti pimpinan Tangau itu mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan bergabung dengan Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas.

“Yang menyebabkan PBS berada di pembangkang adalah rakyat, bukan UPKO,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Tangau, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata sebagai pembangkang, PBS boleh memainkan peranan “semak dan imbang” terhadap kerajaan baharu agar lebih bertanggungjawab dalam perkhidmatan kepada rakyat.

Semalam, Ongkili, yang juga anggota Parlimen Kota Marudu, menuduh UPKO sebagai pengkhianat kerana meninggalkan BN untuk bergabung dengan Warisan dan PH selepas pengerusi BN negeri Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah pada 10 Mei lepas menyebabkan BN hilang majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.-BERNAMA