Pakatan Harapan mengharapkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 45 peratus pengundi Melayu ditambahkan dengan sokongan pengundi Cina untuk mencapai kemenangan di kawasan Melayu.

HARI  ini genap 98 hari peralihan kuasa daripada Kerajaan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Harapan di Johor.

Ini bermakna janji 100 hari yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan Johor semakin hampir tiba kepenghujungnya.

Persoalannya mampukah kerajaan Pakatan Harapan Johor menunaikan janji-janji yang telah mereka taburkan kepada rakyat yang hanya berbaki tempoh 2 hari sahaja lagi?

Apa-apa pun, rakyat telah memberikan mandat dan sepenuhnya kepercayaan kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk mentadbir negeri Johor.

Namun sehingga ke hari ini, kita sendiri dapat lihat masih tidak nampak sebarang pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan Johor.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi gambaran yang jelas bahawa kebimbangan rakyat Johor mengenai janji 100 hari Pakatan Harapan Johor yang tidak mampu direalisasikan semakin menjadi kenyataan.

Pastinya, Kerajaan Pakatan Harapan Johor sudah mula panas punggung sekarang ini untuk mencari dan memberi beribu macam alasan kepada rakyat Johor. Ini kerana mereka tidak mampu menunaikan janji yang telah ditaburkan sebelum pilihan raya lalu.

Saya percaya walaupun beribu alasan yang diberikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan kepada rakyat, pastinya rakyat tidak mahu ambil tahu.

Yang rakyat ingin tahu janji tetap janji dan ia tidak boleh dimungkiri oleh pihak kerajaan
Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan perlu laksanakan janji tersebut mengikut masa yang telah mereka tetapkan. Dalam pada itu, terdapat satu survei yang dijalankan menerusi undian atau ‘poll’ di laman sosial Facebook JohorPress berhubung dengan Janji 100 hari Pakatan Harapan Johor.

Survei tersebut dijalankan adalah untuk mengetahui sama ada bangsa Johor sudah merasai ataupun tidak janji-janji Kerajaan Pakatan Harapan Johor.

Hasil daripada undian ini, saya mendapati sebanyak 84% bangsa Johor tidak merasai apa-apa janji Kerajaan Pakatan Harapan. Manakala 16% bangsa Johor mengakui mereka merasai janji kerajaan Pakatan Harapan.

Jadi daripada hasil survei ini telah membuktikan bahawa rakyat masih tidak merasai apa-apa janji yang telah mereka taburkan sebelum ini.

Malah rakyat juga seakan-akan kecewa dengan Kerajaan Pakatan Harapan kerana mereka
hanya mampu taburkan janji-janji manis sahaja tetapi langsung tidak boleh bertindak bahkan membela nasib rakyat Johor.

Sudah cukup kita lihat 100 hari rakyat hilang punca dan hilang arah, jika 1,000 hari Kerajaan Pakatan Harapan memerintah agaknya rakyat akan terus menderita.

Kesimpulannya kerajaan Pakatan Harapan perlu bertangungjawab atas segala janji yang telah diberikan.

Dhia Hani, Persatuan Pemikir Muda Johor