Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan tamparan dalam mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila soal pelantikan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor menghasilkan kesan yang berpihak kepada pesaingnya, Rafizi Ramli.

Waulaupun Selangor dianggap sebagai markas politik Azmin, tetapi isu pelantikan Ahli Majlis telah menjejaskan sokongan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.

Sinchew Daily melaporkan, penggunaan ‘kuasa veto’ oleh PKR negeri dalam menolak nama-nama yang dicadangkan cabang tertentu serta pelantikan bidan terjun sebagai Ahli Majlis telah mencetuskan kontroversi.

“Keadaan ini menyebabkan ada akar umbi yang tidak berpuas hati dengan Azmin yang merupakan Ketua PKR Selangor dan Amirudin Shari yang merupakan Menteri Besar Selangor.

” Walaupun tidak sampai ke tahap kronik, tetapi ia merupakan satu gelombang yang tidak harus dipandang ringan oleh Azmin,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Sumber tersebut juga mempertikaikan laporan bahawa Azmin memperoleh sokongan 15 daripada 22 cabang PKR di Selangor.

“Sebanyak 18 cabang sebelum ini mendesak supaya jawatan presiden parti tidak dipertandingkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi presiden.

” Keadaan ini menunjukkan mereka menekan Azmin yang sebelum ini seakan-akan menyimpan hasrat bertanding presiden,” katanya yang berpendapat sukar untuk menjangkakan sama ada keadaan di Selangor berpihak kepada Azmin atau Rafizi.

Pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR semakin hangat terutamanya selepas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani menyatakan ada konspirasi daripada Azmin dan Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Naib Presiden PKR, Tian Chua bagaimanapun berpendapat kenyataan Abdullah sebagai “mengarut” .

Tian Chua pada masa yang sama percaya Azmin akan mendapat sokongan di Selangor dan negeri-negeri lain untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR. – MalaysiaGazette