Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan, apabila berlaku pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kos sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjumlah RM80.92 bilion dan bukannya RM55 bilion.

Jumlah itu termasuk kos pembangunan sebanyak RM69.83 bilion dan kos pembiayaan RM11.09 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kos pembiayaan itu merangkumi bayaran faedah, kupon sukuk, yuran komitmen dan yuran pengurusan semasa pembinaan.

“Kos dinyatakan ini bukan kos baharu kerana anggaran kos keseluruhan adalah dari pentadbiran kerajaan dahulu dan tidak pernah didedahkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib (BN) yang bertanya tentang status terkini ECRL dan justifikasi kos pembinaan daripada RM55 bilion kepada RM70 bilion.

Secara terperinci, kos pembinaan fasa 1 ECRL berjumla RM46 bilion dan baki RM9 bilion untuk fasa 2 serta fasa penambahbaikan RM11.780 bilion.

Kos tanah pula RM2.5 bilion manakala modal kerja dan kos operasi masing-masing RM50 juta dan RM500 juta.

Bagi kos pembiayaan pula, faedah semasa pembinaan berjumlah RM7.44 bilion, kupon sukuk RM3.192 bilion serta yuran komitmen dan yuran pengurusan, masing-masing RM238juta dan RM216 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan masih belum memuktamadkan sama ada mahu meneruskan projek projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau sebaliknya.

Rundingan berkaitan projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan republik China masih diteruskan.
Bagaimanapun rundingan itu belum mencapai sebarang kata sepakat yang diharapkan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan beban hutang negara.
“Ia masih berjalan sungguhpun belum mencapai titik muafakat yang boleh dipersetujui kedua dua pihak tetapi selepas Wakil khas kerjaaan Tun Daim Zainuddin pergi ke china saya rasa kedudkan adalah rapat sikit,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pakatan Harapan Ipoh Timur Thomas Su Keong Seong.
Guan Eng berkata, sebarang keputusan tertakluk kepada hasil rundingan yang sedang dijalankan.

Ia juga mengambil kira penentangan Selangor memandangkan rangkaian keretapi dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan menjejaskan permohonan Tapak Warisan Sedunia UNESCO.

“Sekiranya kerajaan bercadang untuk meneruskan projek ini, kajian teliti dari aspek persetujuan Selangor, skop, spesifikasi dan kaedah pelaksanaan supaya kos dapat dikurangkan.

“Sekiranya kerajaan bercadang untuk tidak meneruskan projek ini, kemungkinan besar ia akan dirujuk kepada prosedur perundangan bagi menentukan jumlah bayaran pampasan, jika perlu dibayar,” katanya. – MalaysiaGazette