Sebahagian daripada 30,000 guru New Zealand yang mogok. foto Agensi

WELLINGTON – Guru-guru sekolah di New Zealand melancarkan mogok buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun kerana tidak puas dengan isu gaji, persekitaran dan insentif bagi menarik penyertaan guru-guru baru.

Tunjuk perasaan itu disertai oleh 30,000 orang guru sekolah rendah dan pertengahan di sekitar New Zealand.

Tindakan itu menyebabkan 1,479 buah sekolah ditutup – tiga per empat daripada sekolah yang ada di negara itu.

“Guru-guru dan pengetua menyertai protes hari ini bagi menghantar mesej jelas kepada kerajaan tentang tawaran perjanjian bersama daripada Kementerian Pendidikan bahawa ia tidak menyelesaikan krisis perguruan,” kata Ketua Perunding Kesatuan Guru (NZEI), Louise Green.

Julai lalu, jururawat negara itu telah melancarkan mogok dan beberapa siri protes oleh penjawat awam.

Pertumbuhan gaji di New Zealand masih lembab meskipun kos penginapan meningkat, menyebabkan pekerja-pekerja terpaksa berjuang untuk meneruskan kehidupan meskipun pertumbuhan ekonomi kukuh. – MalaysiaGazette