Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun.
Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun

KUALA LUMPUR – Parti apa pun yang memerintah – bukan tidak boleh memansuhkan tol tetapi ia merupakan keputusan yang tidak mampu dibuat.

Kalau ada mana-mana kerajaan yang berani melakukannya ia umpama menjahanamkan ekosistem ekonomi dan kewangan negara.

Perlu diingat pembinaan lebuh raya oleh pihak-pihak swasta bukan percuma, lantas ia perlu berbayar selepas kemudahan itu banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Bukan sahaja melancarkan lalu lintas dan memendekkan tempoh perjalanan, pembinaan lebuh raya bertol telah menyumbang kepada kemajuan kawasan, meningkatkan pengagihan dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, syarikat konsesi mempunyai tanggungjawab sebagai pembayar cukai kepada kerajaan.

Seorang penganalisis tempatan, Rusli Abdullah berkata, penghapusan tol bermakna kerajaan perlu mengambil alih kesemua aset dan obligasi hutang syarikat-syarikat konsesi.

Kerajaan juga perlu membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi.

Lebih rumit lagi jika syarikat konsesi merupakan syarikat awam, yang mempunyai tanggungjawab bagi pembayaran dividen kepada pemegang saham.

“Isu tol ini babitkan kos…wang. Sebab itu, dari dulu lagi bukan senang hendak mansuhkan tol. Cakap mudah, tetapi proses hendak ke arah itu rumit, sangat rumit dan banyak implikasinya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Baru-baru ini, Menteri Kerja Raya mengakui kerajaan tidak mampu memansuhkan tol kerana ia perlu menanggung kos sebanyak RM400 bilion.

Baru Bian berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti dan mengambil kira secara mendalam pelbagai faktor dan implikasi yang mungkin akan timbul akibat cadangan penghapusan tol lebuh raya di negara ini.

Isu pemansuhan tol menjadi tuntutan rakyat kerana ia merupakan janji Pakatan Harapan yang akan dilaksanakan jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Rusli berkata, pemansuhan kutipan tol secara tergesa-gesa turut berisiko menjejaskan syarikat konsesi yang telah membuat hutang untuk menanggung pembinaan dan operasi tol.

PLUS Malaysia Berhad yang memegang konsesi Lebuh Raya Utara Selatan, contohnya masih mempunyai bon sebanyak RM30 bilion yang perlu ditanggung, berdasarkan struktur konsesi sehingga tahun 2038.

Rusli menambah, kalau benar kerajaan begitu serius mahu memansuhkan tol kelak, Malaysia sudah kena siap-sedia untuk membangunkan ekonomi baru yang mampu menjana pendapatan lain.

Ini kerana, pendapatan tol adalah lebih RM300 bilion setahun.

“Mampukah kerajaan untuk semua ini, tidak kiralah jika ekonomi negara dalam keadaan stabil pun.

“Kalau ekonomi stabil, wajarkah kerajaan membazir wang, sedangkan wang ada sepatutnya dibelanjakan untuk membangunkan negara, untuk keperluan rakyat,” jelas beliau sambil menjelaskan disebabkan faktor-faktor itu isu pemansuhan tidak akan ke mana-mana.

Sekiranya pemansuhan tol itu mudah, sudah tentu kerajaan Barisan Nasional telah lama berbuat demikian.

“Tapi kerajaan dulu pun tak mampu nak buat, sebab itu dalam usaha meringankan beban rakyat, kerajaan dulu tidak menaikkan kadar tol PLUS, sekadar menamatkan kutipan tol di empat lebuh raya sahaja.

“Itu pun tol lama dan mungkin ada sesetengah tol yang dimansuhkan itu turut diambil kira jumlah trafik,” ujarnya. – MalaysiaGazette