Hishamuddin Rais
Aktivis, Hishamudin Rais diiringi peguamnya, Zaid Malek ketika hadir memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kes Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Hishamuddin Rais mempersoalkan tindakan pihak polis yang menyiasatnya di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurutnya, akta tersebut seharusnya telah dimansuhkan selepas kerajaan Persekutuan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Yang menjadi persoalan sekarang sama ada kerajaan baharu Pakatan Harapan yang didalam maifestonya akan melupuskan Akta Hasutan 1988.

“Jadi kita lihat dan kita nanti apakah ia akan dilupuskan. Jikalau ia dimansuhkan atau ia ditambah baik maka satu perubahan akan berlaku di Malaysia.

“Saya hanya menunggu langkah seterusnya dan akan meneruskan menulis di blog saya seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Hishamuddin diminta hadir di balai berkenaan pukul 4 petang bagi diambil keterangan berhubung siasatan dalam blognya yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas mengenai perkara itu, Hishamuddin berkata, blog tukartiub.blogspot.com miliknya telah digodam oleh individu tidak dikenali.

Katanya, seorang pengguna laman sosial dari Chembung, Rembau telah melayari laman blognya dan kemudian membuat laporan polis selepas mendakwa berlaku hasutan di dalam tulisan pada salah satu artikel di entri tersebut.

Hishamuddin berkata, laman blognya itu telah hilang seminggu sebelum berlangsung Piliah Raya Umum ke-14 (PRU14) daripada sistem carian.

Bagaimanapun, beliau telah meminta kembali laman blognya itu daripada SuruhanJaya Multimedia (SKMM) dan sejurus diperolehi beliau mendapati ia telah ditambah menjadi tukartiub.blogspot.com.my.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, jika akta tersebut tidak dimansuhkan atau ditambah baik beliau akan berkempen menerusi blognya itu dengan menyatakan kerajaan PH telah mungkir dengan janji-janjinya.

“Jikalau ia (Akta Hasutan) tidak dimansuhkan ia menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan telah mungkir janji dan tukartiub akan meneruskan kempen untuk menerangkan kepada orang ramai bahawa Pakatan Harapan telah mungkir janji,” tegasnya.

Sementara itu, peguamnya, Zaid Malek yang turut menemani Hishamuddin hari ini berkata, siasatan terhadap anak guamnya itu tidak boleh diterima kerana akta yang diguna pakai oleh pihak berkuasa bercanggah dengan dasar kerajaan hari ini.

Katanya, banyak kes-kes melibatkan akta hasutan telah digugurkan selepas kerajaan Pakatan Harapan memerintah.

“Untuk membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan juga Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Hishamuddin merupakan satu perkara yang bercanggah dengan dasar kerajaan.

“Perkara ini seharusnya diteliti semula oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette