Orang ramai menyaksikan kerja-kerja mencari mangsa dalam runtuhan jambatan runtuh. foto Agensi

ROM – Para penyelamat masih mengesan mangsa-mangsa yang masih hidup selepas sebuah jambatan runtuh.

Setakat ini, 26 orang dilaporkan maut dan 15 lagi cedera parah apabila berpuluh-puluh kenderaan jatuh dari ketinggian 45 meter.

Seramai 12 orang dilaporkan hilang.

Laporan media berkata, masih kedengaran jeritan mangsa-mangsa yang berada di bawah runtuhan tersebut.

Kira-kira 300 anggota bomba yang bertugas telah menggunakan anjing pengesan untuk mendapatkan mangsa-mangsa yang terperangkap.

Manakala beratus-ratus orang terpaksa diselamatkan berikutan kebimbangan runtuhan pada bahagian lain jambatan tersebut.

Punca kejadian itu yang dikatakan disebabkan hujan lebat masih belum jelas.

Menteri Dalam Negeri, Matteo Salvini berikrar akan mengheret mana-mana pihak bertanggungjawab di atas kejadian tersebut.

bridge
Kedudukan jambatan Morandi yang runtuh. foto Reuters

Jambatan Morandi itu dibina pada tahun 1960an, merupakan laluan penting bagi penduduk tempatan
kerana ia menghubungkan Riviera dengan pantai selatan Perancis.

“Kami masih meneruskan operasi menyelamat kerana percaya masih ada mangsa yang hidup di bawah runtuhan,” kata polis.

Dianggarkan antara 30 hingga 35 kereta dan tiga kenderaan berat berada di atas jambatan itu ketika ia runtuh.

Menara besar dan seksyen jambatan itu runtuh di atas landasan keretapi, sungai dan sebuah gudang tetapi tidak ada kemalangan maut di darat. – MalaysiaGazette