Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh sokongan di Selangor apabila kekal mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli pada fasa kedua pemilihan parti yang berlangsung di tujuh cabang di Selangor hari ini.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan persekutuan sedar mengenai isu kemiskinan di Sabah yang masih tinggi iaitu pada kadar 2.9 peratus sedangkan kadar kemiskinan mutlak negara telah jatuh ke paras sifar.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang bermula pada 2011 sehingga 2015, Sabah telah menerima sejumlah RM20.6 bilion peruntukan pembangunan atau mewakili 8.6 peratus daripada keseluruhan peruntukan tersebut manakala di bawah Rolling Plan Pertama pada 2016 sehingga Rolling Plan Ketiga pada 2018 RMK11 pula, Sabah telah menerima peruntukan sebanyak RM13.2 bilion yang mewakili 9.5 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negara.

“Merujuk kepada isu kemiskinan, kerajaan sedar, walaupun kadar kemiskinan mutlak negara telah jatuh ke paras hampir sifar, namun kadar kemiskinan di Sabah masih tinggi iaitu pada 2.9 peratus.

“Bagi mengatasi perkara ini, kerajaan sedang melihat semula langkah-langkah bagi mengurangkan kesenjangan pendapatan di antara kumpulan berpendapatan rendah dan kumpulan berpendapatan tinggi, termasuklah di Sabah,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Jonathan Yassin (PRR-Ranau) di Parlimen hari ini.

Dengan itu, kerajaan menurut Azmin sedang melihat semula langkah-langkah bagi mengurangkan jurang pendapatan di antara kumpulan berpendapatan rendah dan kumpulan berpendapatan tinggi termasuklah di Sabah.

Jelasnya, Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) 2016-2018 akan memperkukuh semua langkah bagi meningkatkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerusi pelbagai inisiatif utama meningkatkan pendapatan serta keupayaan golongan tersebut.

Ini dilakukan melalui pendidikan dan latihan kemahiran bagi meningkatkan akses kepada pekerjaan bergaji tinggi, menggalakkan aktiviti keusahawanan seperti pembiayaan mikro kredit dan meningkatkan produktiviti .- MalaysiaGazette