petrol
Gambar fail: Stesen minyak Petronas

KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Bhd. (PetDag) merancang untuk meningkatkan pendapatan bukan bahan api kepada 30 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Ketika ini, segmen tersebut hanya menyumbang sekitar 10 peratus sahaja daripada keseluruhan pendapatan PetDag yang didominasi oleh segmen bahan api.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata, PetDag perlu melihat kepada segmen bukan bahan api bagi terus memberikan pulangan terbaik kepada pemegang saham pada masa akan datang kerana minyak merupakan industri yang semakin merosot berikutan trend semasa yang menuju ke arah penggunaan tenaga baharu seperti kenderaan elektrik.

Antara usaha yang sedang dilakukan anak syarikat Petronas itu adalah mengadakan kerjasama dengan syarikat penyedia ruang terbesar di Malaysia, Common Ground bagi mentransformasi stesen minyaknya menjadi sebuah hab inovasi sekaligus menjana pendapatan bukan bahan api kepada syarikat.

“The Place @ Ampang merupakan salah satu strategi jangka panjang perniagaan runcit kami dengan memberi fokus kepada penyelesaian inovatif untuk memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Syed Zainal, PetDag berhasrat untuk mengembangkan idea perniagaan sedemikian dengan mentransformasi enam lagi stesen minyak miliknya iaitu di Seksyen 26 Shah Alam, Ampang, Solaris, Setiawangsa, Johor Bharu dan Langkawi kepada hab inovasi. – MalaysiaGazette