KUALA LUMPUR – Filem-filem Tamil tempatan semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat seni terutamanya golongan muda sejak kebelakangan ini malah ia turut dinantikan dengan penuh debaran apatah lagi jika melibat pengarah atau pelakon digemari.

Ini terbukti apabila filem Vedigundhu Passangge arahan Dr Vimala Perumal gandingan bersama suaminya, berjaya mengutip RM1 juta buat pertama kali dalam sejarah industri Tamil tempatan dalam tepoh tiga minggu sahaja.

Filem terbitan Veedu Production dengan kerjasama Astro Vaanavil itu berjaya memecah rekod empat tahun yang dipegang filem Maindhan, arahan C. Kumaresan lakonan Datin Seri Shaila Nair, yang sebelum ini telah mengutip RM903,000.

Terbaru, pengarah cilik dan muda, Shalini Balasundaram yang menjadi popular dan ‘kegilaan’ melalui filem arahan serta lakonannya, ‘Geethaiyin Raadai’ dua tahun lepas kini kembali hasil karya terbaru, Thirudathey Papa Thirudathey (TPT).

Sebut sahaja nama Shalini, rata-rata mengenalinya dengan penampilan ayu, bijak, berkeyakinan tinggi dan juga bersikap ‘keanak-anakan’.

Menariknya, Shalini sekali lagi tampil dengan sdebuah lagi filem hangat khusus untuk penonton yang sekian lama dahagakan filem Tamil tempatan yang bermutu.

Mengambil kira latar belakang kehidupan serta pengalaman sendiri berdepan perompak, Shalini kembali menghasilkan filem kedua beliau TPT yang bakal menemui penonton esok.

Sedikit sebanyak filem itu diinspirasikan menerusi pengalaman sendiri beliau dirompak sebanyak tiga kali dan beberapa insiden sebenar yang berlaku dalam kalangan masyarakat India.

Shalini ketika ditemubual dengan MalaysiaGazette berkata, trauma yang dihadapi selama hampir 10 tahun selepas pertama kali berdepan cubaan merompak di rumahnya ketika berusia 9 tahun menjadi pedoman untuk menghasilkan karya ini.

Katanya, ketakutan yang menyelubungi dirinya susulan kejadian itu hanya berjaya dilupakan sedikit demi sedikit apabila menginjak dewasa namun tanpa diduga, kejadian kedua berlaku dengan lebih mengerikan.

“Saya berusia 19 tahun ketika itu ketika bercakap di telefon dengan ibu apabila saya terdengar satu bunyi yang agak mencurigakan.

“Perompak itu berjaya melarikan ‘Taali’ kepunyaan ibu saya dan saya masih mampu mengingati dengan jelas bunyi itu,” katanya.

Ketika berusia 21 tahun, Shalini berkata, kediaman yang ketika itu dihuni bersama tunangnya sekali lagi dirompak.

“Saya dapat lihat wajah kedua-dua perompak itu dengan jelas kerana ia berlaku dua bulan sebelum saya memulakan penggambaran filem pertama.

“Dalam kejadian itu, habis semua simpanan yang disimpan ibu untuk majlis perkahwinan saya?” katanya sedih.

Shalini Balasundaram

Ditanya mengenai harapan terhadap TPT, pengarah berbakat itu berharap ia dapat membuka mata pihak berkenaan terhadap kemelut sosial yang melanda komuniti India tempatan.

Beliau merujuk kepada kes serangan membabitkan seorang remaja India, Nhaveen Thirumaran, 18 di Pulau Pinang yang akhirnya menemui ajal selepas terlantar koma pada 15 Jun tahun lalu.

“Kes itu dilakukan orang yang dikenali mendiang dan lebih menyedihkan, kesemua penyerang itu masih remaja!

“Sesuatu perlu dilakukan untuk menghalang gejala sosial ini terus menjadi masalah kronik masyarakat India negara.

“Jika Geethaiyin Raadhai ialah filem yang memfokus kepada golongan dewasa dan remaja, TPT pula mensasarkan penonton berusia serendah 6 tahun hingga 60 tahun.

“Saya tidak mahu sekadar menghasilkan filem untuk hiburan semata-mata, matlamat saya adalah juga untuk menjadi inspirasi selain daripada menyampaikan mesej moral agar dalam kalangan masyarakat setempat. Setiap orang mempunyai cara tersendiri, ini adalah cara saya.

“Saya mempunyai peminat bukan sahaja dalam kalangan muda sebaliknya dari semua peringkat termasuk kanak-kanak dan juga bangsa lain. Mereka menjadikan saya idola mereka juga, antara peranan yang boleh saya mainkan adalah mesej melalui filem yang dihasilkan oleh saya. Ianya bukan sekadar ‘omong kosong’ sahaja,” katanya.

TPT ditayangkan di hampir semua pawagam utama seluruh negara dan diklasifikasikan sebagai PG13.

Filem itu mengekalkan Ztish sebagai pengarah muzik dengan lima buah lagu termasuk salah satunya sedang menjadi viral ketika ini, ‘Valikkirathey’.

Filem terbitan Story Films Sdn Bhd itu turut dibintangi Shalini, Saresh D7, Shalini Balasundaram, Kabil Ganesan, Yuvaraj Krishnasamy dan ramai lagi. – MalaysiaGazette