Zinedine Zidane

LONDON – Zinedine Zidane muncul dengan pengakuan yang bakal mencetuskan kontroversi apabila dia sedia mempertimbangkan tawaran untuk menguruskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Zidane, 46, ketika ini belum terikat dengan mana-mana kelab selepas meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid pada Mei lalu.

Peletakan jawatannya mengejutkan kerana dibuat selepas lima hari Zidane mengemudi kelab gergasi Sepanyol berkenaan memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga.

Selain itu, Zidane turut membantu Real memenangi trofi La Liga pada musim 2017 selain dua trofi Piala Kelab Dunia FIFA sepanjang tempoh dua tahun setengah di Santiago Bernabeu.

Menurut laporan L’Equipe, Zidane berkata, dia sedia mempertimbangkan tawaran daripada mana-mana kelab EPL.

Laporan itu mendakwa bekas pemain tengah Perancis tersebut mahu menguruskan Manchester United.

Mourinho kini semakin tertekan untuk mengukir kejayaan bersama United selepas gagal membantu pasukan itu memenangi sebarang trofi musim lalu.

Meskipun menamatkan saingan EPL di tempat kedua, Mourinho menganggap kejayaan itu sebagai pencapaian terbesarnya bersama United.

Hubungan Mourinho dengan lembaga pengurusan United agak dingin selepas dia mengkritik Ed Woodward kerana gagal membawa masuk pemain yang dikehendakinya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup Khamis lalu. – MalaysiaGazette