BANDUNG – Skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) membuat kejutan apabila menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi Kumpulan E di Sukan Asia 2018, sebentar tadi.

Kemenangan kedua skuad B-23 negara itu mengesahkan Malaysia dalam kelompok dua terbaik Kumpulan E dan layak ke aksi 16 akhir biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan kalah mati.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat di sini, Malaysia mendapat gol awal yang dijaringkan oleh penyerang berbisa, Muhammad Safawi Rasid ketika perlawanan baru masuk minit kelima.

Ketika Korea Selatan terus mengasak ke kubu negara, serangan kilat membolehkan Malaysia mendahului Korea Selatan 2-0 menerusi gol kedua Muhammad Safawi pada minit ke-45.

Babak kedua menyaksikan Korea Selatan terus memburu gol namun gol tunggal hanya muncul pada minit ke-88 oleh Son Heung Min.

Perlawanan terakhir kumpulan menyaksikan Malaysia akan bertemu Bahrain pada Isnin ini. – MalaysiaGazette