Dr. Maszlee Malik.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

PUTRAJAYA – Sebanyak 43 inisiatif berkaitan pendidikan telah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 100 hari mentadbir negara, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata sebahagian daripada inisiatif tersebut merupakan antara perkara yang dijanjikan di dalam manifesto PH seperti mengeluarkan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini Maszlee berkata janji manifesto yang ditunaikan pada 8 Jun, iaitu dalam tempoh 30 hari pentadbiran kerajaan baharu itu menyaksikan seramai 429,945 peminjam dibantu.

Selain itu, kementerian juga telah memulakan langkah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah boleh menangguhkan bayaran balik melalui sistem bayaran balik pinjaman fleksibel atau Income-Contigent Loan Repayment (ICLR), katanya.

Beliau berkata kementerian itu juga mengambil pendekatan lebih holistik dalam membina martabat sistem pendidikan termasuk memberi kuasa autonomi kepada institusi pengajian tinggi dan memberi kebebasan bersuara lebih luas kepada mahasiswa dengan menghidupkan semula sudut pidato.- BERNAMA