Aban Anjang
Aban Anjang

RAUT wajahnya tenang, renungannya tajam dan dalam ketenangan riak wajah itu tiada siapa mengetahui apa yang tersimpan dalam benak hatinya, kerisauan mengenai masa depan generasi anak bangsa suku Temiar yang sebahagian besarnya dinafikan hak dek kerakusan manusia atas fatamorgana dunia.

Risau kian bercambah, ada juga dalam kalangannya yang dirasuk kebendaan hingga melupakan hakikat akar yang dipegang dan diwariskan. Padanya dan yang diajar olehnya buat anak cucu pewaris adalah mengenai tanggungjawab menjadi malaikat fana dan begitu besar cabaran menongkah permodenan menentang ‘khalifah’ bertopengkan iblis yang bersifat perosak!

Namanya Aban Anjang, dipercayai berusia sekitar 90an menurut masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang ini. Sosok beliau disegani hampir kebanyakan masyarakat Temiar sebagai seorang ‘petua’ punyai banyak pengalaman yang telah dilalui.

WhatsApp Image 2018-08-18 at 12.27.14 PM (1)
Aban Anjang

Namun pada usia ini beliau tidak pernah berhenti untuk hanya sekadar memberi nasihat, malah menjadi insan terkehadapan selaku benteng mempertahankan amanah atas apa yang dipercayai selaku penjaga alam (hutan). Maka hal ini membuatkan diri berfikir, apakah sebenarnya takrifan ‘khalifah’ dan siapa sebenarnya khalifah dalam perjuangan ini?
.
Dari bicara bersama beliau, harta dan kebendaan tidak pernah menjadi landasan. Baginya, perjuangannya (atas amanah dan kepercayaan) adalah segala. Atas takrifan perjuangan ini khalayak tanahair juga perlu mengetahui bahawa Aban Anjang pernah berjasa kepada tanahair.

Beliau adalah merupakan salah seorang anggota elit Senoi Praaq yang menentang perjuangan komunis. Malah dirinya bukan biasa-biasa kerana beliau berada dalam unit Cawangan Khas Senoi Praaq yang turut bertindak sebagai anggota risikan (inteligence) sewaktu penentangan komunis dahulu.

Sedikit penceritaan sempena bulan kemerdekaan ini untuk kita menghargai pengorbanan pasukan elit Senoi Praaq lantas mengagumi dan menghargai insan seperti Aban Anjang yang pernah berjuang mempertahankan negara yang kini terpaksa pula menentang penindasan kerajaan negeri Kelantan bagi mempertahankan ‘kemerdekaan’ hak suku Temiar.

WhatsApp Image 2018-08-18 at 12.27.14 PM

Berdasarkan sejarah, pasukan ini dikenali sebagai Senoi Praaq yang membawa maksud Orang Perang (Senoi=Orang ; Praaq=Perang), awal penubuhan unit ini diletakan di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ( nama JHEOA pada masa itu tidak pula diketahui ) dan pemilihan anggota diambil 100 peratus daripada masyarakat Pribumi Orang Asli yang terdiri dari suku Temiar, Semelai, Temuan dan Semai. Mungkin atas semangat dan jiwa selaku ‘Orang Perang’, Aban Anjang masih berada sebaris dengan anak muda yang bangkit dan sedar bahawa suku Temiar ditindas.

Senoi Praaq pernah berkhidmat untuk negara dan mendapatkan latihan melalui pasukan elit SAS British serta menjadi penggerak navigasi hutan kepada pasukan SAS ini sewaktu penentangan ke atas keganasan Komunis hingga menyaksikan anggota Senoi Praaq dilegasikan dengan penganugerahan ‘Beret Maroon’ oleh SAS British kepada unit ini sebelum meninggalkan Tanah Melayu.

Dek kerana itu unit ini amat mahir dan berpengalaman dalam selok belok perperangan dihutan, ditambah kebolehan alami mereka selaku penghuni hutan, keupayaan mereka dalam mengesan dan menjejak PKM yang bergiat dihutan amat digeruni oleh musuh. Banyak Treker di 69 Pasukan Polis Hutan berasal daripada Batalion Senoi Praaq.

Senoi Praaq digelar ‘The Silent Killer’ oleh CIA dan pernah digunakan secara rahsia di Laos. Sewaktu US lari dari Laos, mereka ditinggalkan begitu sahaja (mungkin dengan harapan bahawa rahsia ini akan terkubur di Laos). Siapa sangka, unit Senoi Praaq berjaya kembali ke Malaysia sambil bertempur dengan elemen-elemen musuh di sepanjang jalan. Ramai juga yang kecundang dalam perjalanan balik. Peristiwa ini telah dibukukan dan bertajuk “Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite”. (1. Sumber Jakoa).

WhatsApp Image 2018-08-18 at 12.27.12 PMNah begitu hebatnya unit Senoi Praaq malah besar jasa mereka, pun begitu bayangkan seorang Aban Anjang, pejuang Senoi Praaq yang sudah tua dan dipercayai dari penceritaan lisan masyarakat setempat, cukup berjasa juga kepada negara masih terpaksa bersusah demi nasib hutan dan hak ‘adat’ generasi Temiar masa hadapan.

Beliau kini terpaksa berulang-alik dari Pos Gob tempat permastautin beliau ke kawasan blockade yang mengambil masa tujuh jam dengan berjalan kaki. Dan ya, kerap-kali beliau lebih memilih untuk berjalan dengan menikmati sisa hutan yang tercemar dari menaiki kenderaan yang turut mengambil masa yang panjang sekitar empat jam perjalanan dari POS pertama pintu masuk ke penempatan Orang Asli (kawasan blockade).
.
Aban Anjang dianggap sebagai Tok Batin bagi kebanyakan orang walaupun beliau bukanlah batin secara rasmi yang dilantik kerajaan. Ini kerana ketegasan beliau dalam menyuarakan hak selain pencerahan dan bakti ilmu beliau kepada suku Temiar yang juga tidak mudah terpikat dengan kebendaan dan fatamorgana dunia yang seringkali disogok kepada beliau.

Menurut beliau banyak kali wakil cukong-cukong hadir menawarkan sejumlah wang yang besar ingin merasuah beliau. Malah di hadapan pengikut, beliau ditawarkan segenap kebendaan ini, namun secara keras beliau menolak sehingga terakhir, menurut beliau sewaktu samseng-samseng yang dijinakkan cukong-cukong yang bekerjasama dengan kerajaan negeri datang merosakkan blockade dan telah mengasari beliau dengan ada yang menolak sehingga memijak pejuang ini!

Inilah nasib beliau dan masyarakat orang Asli suku Temiar yang dinafikan hak mereka oleh kerajaan negeri Kelantan. Sedang kita lena diulit permodenan, kita tidak harus lupa hakikat kita ditiupkan roh ke muka bumi ini adalah sebagai ‘khalifah’, namun khalifah yang bagaimana kita zahirkan jika hak dinafikan dan hasil bumi dijarah demi kepentingan duniawi semata.
.
Memetik keluhan seorang wakil Orang Asli Suku Temiar, bicara beliau “Apa nak jadi jadilah… Kami bersedia sanggup apa jua halangan kami tetap berdiri teguh… kerana kami bangsa paling hina di dunia ini, dipandang rendah, tiada pelajaran, hanya tahu jaga hutan nikmat ciptaan tuhan.
.
Coretan Dan Gambar Dari Gua Musang Dedikasi Buat Pejuang Temiar oleh:
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR