Amir Masdi merupakan bekas juara Akademi Fantasia (AF) 2016.

KUALA LUMPUR – Lebih setahun menyepi, bekas juara Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir atau yang kini  dikenali sebagai Amir Masdi telah melancarkan single terbaharunya berjudul Puas baru-baru ini. 

Single terbitan Nova Music (M) Sdn. Bhd. itu merupakan karya ciptaan penuh Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna yang menceritakan kisah patah hati sepasang kekasih.

Puas turut mendapat sentuhan muzik gubahan komposer terkenal Omar K yang juga bertindak sebagai penerbit rakaman.

Single yang berkonsepkan balada pop ini merupakan pertaruhan ketiga Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi selepas tampil dengan single terdahulu, Pemilik Cinta pada 2016 dan Waktu (2017).

Kedua-dua single tersebut mendapat sambutan baik pendengar dan berjaya menembusi carta stesen radio seperti carta Era 40 apabila Pemilik Cinta dan Waktu berjaya menembusi Top 40 dan Top 15 carta tersebut.

Menerusi karya terbaharu itu, Amir berkata, dia mengambil masa yang lama untuk memilih lagu yang sesuai.

“Saya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan lagu. Saya pecaya keserasian antara lagu dan penyanyi, sebab itu saya ambil masa untuk meneliti dan memilih lagu yang benar-benar sesuai dengan ciri vokal saya.

“Tetapi bila sudah jumpa lagu yang saya suka, tanpa berlengah lagi saya terus masuk studio rakaman. Lagu Puas ini saya terima pada bulan Ramadhan yang lalu dan selesai rakaman sebelum raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, video muzik pun sudah selesai penggambaran,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Amir mengakui dia gementar menanti penerimaan pendengar muzik tempatan dan berharap Puad mendapat sambutan yang lebih baik daripada lagu-lagu nyanyiannya terdahulu.

Dua single saya yang terdahulu membantu menempatkan nama saya dalam industri muzik tempatan. Saya akan membina di atas tapak ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan saya dalam industri.  

“Apa yang penting, saya harus terus berikan karya yang terbaik kepada pendengar. Harapnya pertaruhan saya kali ini dapat mencuri perhatian pendengar muzik tanahair,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nova Music (M) Sdn. Bhd.,  Rosmin Hashim berkata, Amir berjaya menjiwai Puas dengan cukup baik.

Beliau berani menyatakan bahawa single terbaru itu adalah single terbaik daripada Amir sepanjang kerjayanya dalam industri muzik tempatan.

“Sempena pelancaran single ini, pihak kami bersama Amir telah menganjurkan promosi Instagram untuk mengajak peminat berkongsi kisah patah hati mereka.

“Seramai pemenang dengan kisah patah hati terbaik telah mendapat peluang khas untuk mengabadikan kisahmereka dalam rakaman video mereka sendiri yang dimuat naik ke saluran YouTube Nova Music Videos,” katanya.

Puas kini boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, iTunes, Deezer dan juga KKBox. Video muzik rasmi Puas juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://youtu.be/23ZiUazsB5E. – MalaysiaGazette