Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan kukuh minggu depan. dengan menguji semula paras 1,800, didorong oleh beberapa faktor dalaman dan luaran, kata peniaga.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata, lawatan lima hari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China mulai Jumaat, dilihat positif memandangkan ia menyasarkan untuk mengekalkan hubungan baik dengan China.

“Juga, 100 hari pemerintahan kerajaan baharu pada 17 Ogos (Jumaat) yang dilihat positif setakat ini.

“Selain itu, angka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 4.5 peratus yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia, juga selari dengan unjuran kami,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Urus Niaga M&A Securities Sdn Bhd R Sundararajah berkata Indeks FBM KLCI dijangka didagangan tinggi susulan belian semasa harga rendah di kebanyakan kaunter saham berharga rendah.

Beliau berkata indeks yang merosot pada purata 20 mata sepanjang minggu ini dijangkakan meningkat memandangkan pelabur mahu membeli saham murah dan menarik.

“Saya percaya pelabur akan mengambil peluang untuk membeli saham yang mereka jual minggu ini, terutama saham bermodal sederhana dan kecil.

Jumlah jualan bersih asing sepanjang empat hari dagangan (sehingga Khamis) kepada RM482 juta, juga dijangkakan berubah corak dengan dana akan kembali semula ke dalam apsaran,”katanya kepada Bernama.

Sunderarajah berkata  pendapatan korporat juga dipantau rapat kerana ia akan mempengaruhi pasaran ekuiti terutama saham berkaitan indeks FBM KLCI, selain menjejaki prestasi Wall Street dan bursa serantau.

“Perembangan geopolitik, termasuk rundingan perdagangan antara US (Amerika Syarikat) dan China, selain sekatan yang dikenakan oleh US ke atas Turki dan sebaliknya, mungkin menyebabkan pelabur enggan memasuki pasaran.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia didagangkan tinggi antara 1,780.26 dan 1,785.03, susulan minat belian berterusan di kaunter saham wajaran tinggi dan saham berharga rendah pada Jumaat.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI  susut  22.28 mata kepada 1,783.47 berbanding 1,805.75 sebelumnya.

Indeks FBM Emas merosot 150.92 mata kepada 12,619.57 dan Indeks FBMT100 turun 157.80 mata kepada 12,389.04.

FBM 70 turun 205.33 mata kepada 15,388.45 dan Indeks FBM Emas Shariah  susut 167.84 mata kepada 12,781.04,  namun  FBM Ace menokok 3.00 mata kepada 5,552.40.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan  merosot 187.39 mata kepada 17,388.79, Indeks Perladangan turun 85.64 mata kepada 7,627.19 dan  Indeks Perusahaan susut 36.45 mata kepada 3,232.90.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 10.89 bilion unit bernilai RM10.67 bilion berbanding 11.93 bilion unit bernilai RM11.07 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di pasaran utama merosot kepada 7.19 bilion saham bernilai RM9.68 bilion berbanding 7.52 bilion saham bernilai RM9.99 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.88 bilion unit bernilai RM524.88 juta berbanding 2.10 bilion unit bernilai RM509.46 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.74 bilion saham bernilai RM464.16 juta berbanding 2.29 bilion saham bernilai RM573.79 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette