Nga Kor Ming

TELUK INTAN – DAP Perak tidak pernah memberi tekanan kepada Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkaitan isu hak milik kekal tanah, kata Pengerusinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata DAP adalah sebuah parti yang penuh bertanggungjawab, mempunyai hubungan mesra, sentiasa bekerja sebagai satu pasukan serta saling hormat menghormati.

“DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar dan memberi sokongan padu kepada pimpinan beliau supaya Pakatan Harapan (PH) membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat Perak serta membawa pembangunan ekonomi pesat kepada negeri kita yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan yang memetik beliau sebagai berkata, DAP Perak mahu Kerajaan Negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal tanah kepada Kampung-kampung Baru seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menjelas lanjut, Nga, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong, berkata beliau tidak pernah membangkitkan isu hak milik kekal tanah dalam satu sidang media di sini, semalam.

“Sebaliknya apa yang berlaku adalah apabila saya ditanya oleh pemberita, saya hanya nyatakan PH  adalah komited untuk melaksanakan semua janji yang termaktub dalam manifesto,” katanya.- BERNAMA