Korea
Pasukan Korea Selatan dan Korea Utara yang bergabung di bawah satu pasukan "Korea" melangkah masuk ke Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semasa pembukaan Temasya Sukan Asia ke-18

JAKARTA- Presiden Majlis Olimpik Asia, Sheikh Fahad Al-Sabah memuji temasya Sukan Asia ke-18 yang dibuka semalam di Indonesia sebagai satu tarikh bersejarah menyaksikan penyatuan dua negara di semenanjung Korea.

“Kita berjaya melakar sejarah hari ini kerana Korea Utara dan Selatan bersatu dalam sebuah pasukan untuk bertanding di Sukan Asia 2018,” katanya ketika berucap di majlis pembukaan temasya berkenaan di Stadium Gelora Bung Karno.

Semasa majlis berkenaan, atlet-atlet dari Korea Selatan dan Utara berarak di bawah satu bendera iaitu “Korea”.

Sepuluh atlet yang mewakili dua negara berkenaan dilihat memakai uniform berwarna putih dan biru muda, iaitu gabungan warna dalam Bendera Korea Bersatu.

Di majlis itu juga, bendera berkenaan dilihat dikibarkan semasa atlet-atlet dari dua negara tersebut berarak memasuki arena sambil melambaikan tangan manakala duta Korea Selatan, Kim Chang-beom dan duta Korea Utara An Kwang-il berdiri bersebelahan sambil membalas lambaian para atlet.

Penyertaan dua negara jiran tetapi bermusuh itu di bawah satu pasukan pada temasya kali ini menunjukan komitmen masing-masing untuk meningkatkan kerjasama dalam lapangan sukan selepas kedua-dua pemimpin bertemu pada Mei.

Pada temasya Sukan Asia ke-18 ini, pasukan Korea hanya mengambil bahagian dalam tiga acara sahaja iaitu kenu, berkayak dan bola keranjang.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan tersebut turut bersama-sama menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Peyong Chang, Korea Selatan pada Februari.- Tempo