Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff ‘direhatkan’ daripada jawatan itu sehingga tamat saingan Liga Malaysia musim ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Mohd. Asmirul Anuar Aris dalam satu kenyataan berkata, tugas tersebut akan dipangku sementara Penolong ketua jurulatih Kedah Azzmi Aziz sehingga tamat saingan Piala Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata, KFA akan memberikan tugasan lain kepada Mohd. Nidzam sehingga kontrak beliau tamat.

“Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas yang diadakan kelmarin bagi membincangkan beberapa agenda khusus.

“Pihak pengurusan berterima kasih kepada Mohd. Nidzam atas sumbangan khidmatnya dalam menerajui Kedah sehingga membolehkan pasukan itu menjuarai Piala FA dan naib johan Piala Malaysia musim 2017,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut bersetuju melantik Pegawai Tadbir KFA Farid Ahmad untuk memangku jawatan Pengurus Pasukan Kedah sehingga tamat saingan musim ini.

Pelantikan itu berikutan kekosongan jawatan selepas Syed Khairul Anuar Syed Abidin meletak jawatan. – MalaysiaGazette