Liew Daren yang menjadi taruhan dalam perseorangan pertama gagal menyaingi Kento Momota.

JAKARTA – Skuad badminton berpasukan lelaki Malaysia gagal mempertahankan pingat gangsa selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Jepun dalam saingan pusingan 16 Sukan Asia 2018 apabila tewas 3-0, hari ini.

Kekalahan itu bermakna Malaysia gagal melayakkan diri ke suku akhir buat kali pertama dalam Sukan Asia sejak acara berpasukan lelaki diperkenalkan pada 1962.

Sandaran kepada pasangan beregu negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong untuk menyamakan kedudukan lebur walaupun memberikan cabaran sengit kepada naib juara dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Mereka akur dengan kehebatan wakil Jepun itu menerusi keputusan 18-21, 18-21, sebelum Kanta Tsuneyama melengkapkan kemenangan lawan susulan kejayaan menundukkan Lee Zii Jia 21-18, 21-17.

Pemenang Piala Thomas 2018 itu bakal berdepan sama ada Korea Selatan atau Thailand dalam aksi suku akhir. – MalaysiaGazette