Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR- Ketiadaan tindakan diambil di dalam merungkai skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) termasuk menahan individu yang dianggap paling penting dalam isu itu, Jho Low sehingga ke hari ini membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran spekulasi serta cerita yang mengelirukan.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pendekatan menunggu dan mengharapkan ahli perniagaan itu tampil sendiri untuk memberi penjelasan tidak akan berjaya menyelesaikan kes tersebut.

“Kerajaan Malaysia harus mempamerkan keseriusan dan kesungguhan yang lebih tegas bagi mendapatkan Jho Low dan mengheret beliau ke muka keadilan. Pihak Kerajaan tidak seharusnya sekali-kali melihat beliau sebagai sekadar watak sampingan yang boleh diketepikan.

“Sebarang pendekatan menunggu dan mengharapkan beliau untuk tampil sendiri dan memberi penjelasan secara sukarela tidak akan berjaya dalam kes ini.

“Jawapan yang hanya menyalahkan Kerajaan sebelum ini kerana gagal menahan Jho Low, sudah tentunya bukan alasan yang boleh diterima lagi. Ini kerana, UMNO sendiri mahukan perkara ini diselesaikan segara agar ia boleh memfokuskan kepada perkara lain yang lebih penting.

“Menguruskan skandal 1MDB dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan merupakan komitmen dan janji yang dilaungkan oleh kerajaan sendiri pra PRU-14. Jadi, adalah kritikal untuk perkara ini diberikan perhatian dengan lebih serius dan tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, kesudahan kepada skandal tersebut membolehkan kerajaan dan rakyat memfokus kepada perkara yang lebih penting selain membawa semua individu yang terlibat ke muka pengadilan dan melalui proses yang sewajarnya secara telus.

Beliau juga percaya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarga akan memberi kerjasama yang terbaik di dalam mencari kebenaran dan keadilan dalam skandal 1MDB.

“Sekiranya mereka mengetahui dan mempunyai maklumat tentang Jho Low, sudah pastilah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkongsi dengan pihak berkuasa tempatan.

“Ia bukan sahaja satu perkara yang betul untuk dilakukan. Malah, ia akan membantu membersihkan nama dan imej beliau dan keluarga yang kini tercemar dengan skandal ini.

“Keempat, memandangkan isu ini sangat kompleks dan rumit, maka saya juga percaya bahawa kita mesti bekerjasama rapat dengan mana-mana pihak berkuasa luar yang sedang menyiasat dan mencari penyelesaian kepada perkara ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette