Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan kuasa majoritinya di Dewan Negara untuk menggagalkan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September depan.

Beliau berkata walaupun sesetengah pihak berpendapat penggunaan kuasa majoriti itu baik bagi memberi bebanan kepada kerajaan, namun BN tidak berhasrat berbuat demikian.

Katanya, jika sebarang ‘impasse’ (kebuntuan) berlaku, kerajaan akan  mengalami  masalah  akibat  kutipan cukai  tertangguh.

“Kita tiada masalah menyokong perkara baik untuk negara dan rakyat, walau usul dibawa oleh seteru kita seperti mana usul supaya PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) mendengar semula kes 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, BN akan mengutamakan kepentingan rakyat.

Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan hari ini di Dewan Negara tanpa pindaan. – BERNAMA