Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pusat Media PH, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2018

PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar akan memberi penekanan kepada golongan B40 dalam mendepani kos sara hidup dan pemilikan kediaman.

Halimey berkata, penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang mendiami Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) antara golongan yang memerlukan perhatian melibatkan kemudahan lif dan gangguan bekalan air.

“Antara fokus utama saya adalah untuk memberi perhatian khusus bagi menyelami dan menangani masalah yang dihadapi oleh golongan B40.

“Sebahagian kemudahan ini dipercayai berpunca daripada vandalisme. Lif yang gagal berfungsi sering menyebabkan warga emas, ibu mengandung dan pesakit kronik berdepan kesulitan.

“Saya amat memahami dan bersimpati dengan masalah mereka hadapi dan kelompok yang mendiami kawasan ini khususnya pangsapuri kos rendah rata-ratanya berpendapatan di bawah 3,000 sebulan,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan PH N32 Seri Setia di sini, hari ini.

MGF20082018_PC HALIMEY ABU BAKAR_04
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar (tengah) bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pusat Media PH, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2018

Halimey berkata, antara langkah segera beliau dalam menangani vandalisme itu ialah dengan mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Sistem CCTV ini yang mempunyai skrin khas mampu merakam pelaku vandalisme dan amat berkesan dalam usaha kita membendung perbuatan salah laku.

“CCTV ini juga mampu menangani perbuatan merosakkan kemudahan awam termasuk lif dan pam air yang sering berlaku di pangsapuri kos rendah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette