Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

PETALING JAYA – Peratusan keluar mengundi di bawah 50 peratus dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu menjadi iktibar kepada Pakatan Harapan (PH) agar lebih bersedia supaya insiden itu tidak berulang.

Calon PH bagi PRK Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, beliau akan memastikan jumlah keluar mengundi di kerusi N32 pada 8 September ini lebih baik berbanding dalam PRK Sungai Kandis.

“Sasaran kita yang paling utama adalah untuk membawa pengundi-pengundi keluar untuk mengundi pada 8 September ini,” katanya pada sidang media hariannya di Bilik Gerakan PH di sini, hari ini.

Peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jumlah peratusan keluar mengundi PRK Sungai Kandis hanya mencatatkan 49.4 peratus berbanding sasaran sebanyak 80 peratus.

PRK Seri Setia diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, 56, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat menderita kanser usus tahap empat.

Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dan juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau adalah bekas Timbalan Naib Canselor Unisel dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE).

Shaharuddin dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) Selangor selepas memenangi kerusi DUN Seri Setia dalam PRU14 pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette