Proton

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini meluahkan perasaan gembira apabila Proton dan Geely menunaikan janji mereka dan membuat pengumuman untuk menjual kereta Proton di China yang disaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Najib berkata, tindakan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahannya sebelum ini akhirnya membuahkan hasil dan menguntungkan kerajaan walaupun sebelum ini ditentang Dr. Mahathir.

“Ketika Proton yang sudah dimiliki syarikat swasta menjual 49 peratus sahamnya kepada syarikat Geely dari China pada Mei tahun lalu, saya masih ingat tulisan Tun Mahathir menuduh saya menjual maruah negara dan negara bakal dijual.

“Malah, Tun Mahathir melalui tulisan dan ucapannya mengakui menangis teresak-esak mengenangkan saham Proton dijual kepada Geely.

“Saya gembira melihat Proton dan Geely menunaikan janji mereka dan membuat pengumuman untuk menjual kereta Proton dengan disaksikan oleh Dr Mahathir yang tampak sangat gembira biarpun hanya setahun sebelum ini, beliau mengkritik saya dan melalui tulisannya berkata, tidak akan lagi bangga terhadap jenama Proton selepas Geely dijadikan rakan kongsi,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Tambahnya, jika penstrukturan semula dan memberikan pinjaman mudah RM1.5 bilion selain membawa masuk Geely sebagai rakan kongsi Proton, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan berbangga dengan syarikat pengeluar kereta nasional itu seperti hari ini.

“Kini kerajaan PH pula amat bangga dengan Proton-Geely.

“Walaupun saya dan BN difitnah teruk pada masa itu, saya gembira bahawa langkah-langkah kerajaan BN dulu telah dibuktikan sebagai langkah yang menguntungkan negara dan rakyat,” jelas Najib.

Najib dalam memuat naik kenyataannya itu turut melampirkan gambar berita bertajuk ‘Tun Mahathir sedih Proton dijual’ dan gambar Dr Mahathir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dengan Presiden Kumpulan Zhejiang Geely Holding An Conghui ketika melawat Ibu Pejabat Geely, Sabtu yang lalu. – MalaysiaGazette