BEIJING – Malaysia dan China mengalu-alukan pelaburan di kedua-dua negara selaras prinsip kesaksamaan, saling hormat menghormati dan manfaat bersama.

Kedua-dua negara akan sentiasa mengadakan perbincangan mengenai pembentukan Program lima tahun untuk Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan bagi tempoh 2018-2022.

Kedua-dua pihak juga menggalakkan kerjasama dan pemindahan teknologi untuk segmen pelaburan bernilai tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), analisis data, reka bentuk dan pembangunan, Internet of Things,  pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan, demikian menurut kenyataan bersama antara kedua-dua kerajaan.

Wisma Putra mengeluarkan kenyataan bersama berkenaan berikutan lawatan rasmi lima hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke negara ini yang berakhir esok.

Dr Mahathir mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang, di sini, hari ini.

Kedua-dua pihak berpuas hati dengan hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala pada masa ini.

Kenyataan bersama itu juga menyentuh mengenai usaha kedua-dua negara dalam menangani perdagangan elektronik rentas sempadan yang memberikan manfaat ekonomi serta mewujudkan peluang terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Berkenaan Laut China Selatan, kedua-dua pihak menekankan pentingnya mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan, selain keselamatan dan kebebasan pelayaran di laut.

“Kedua-dua pihak menekankan keperluan untuk semua negara berdaulat terbabit secara langsung menyelesaikan perbezaan masing-masing secara aman serta melalui rundingan dan perbincangan yang mesra,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua negara turut melahirkan rasa gembira terhadap hasil lawatan itu.- BERNAMA