Pemandangan khemah jemaah haji di Mina. foto Reuters

MAKKAH – Lebih daripada dua juta umat Islam dari seluruh dunia memulakan ibadah haji sejak semalam dan sudah bersiap sedia untuk ke Arafah.

“Lautan putih’ manusia akan menuju ke Arafah kira-kira 15 kilometer di timur Makkah.

Putera Khaled Al-Faisal, Ketua Makkah dan Penjaga Dua Masjid serta Pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji, berkata, pergerakan jemaah haji berlangsung dengan baik dan lancar

Pada tahun ini, sejumlah 1,999,496 jemaah haji di seluruh dunia mengerjakan ibadah itu.

Jumlah itu termasuk 1,758,722 jemaah asing dan 240,747 jemaah tempatan.

Katanya, sejumlah 86,000 jemaah adalah dari Iran manakala 300 dari Qatar.

Putera Khaled berkata, sebanyak 160 pengendali haji palsu ditangkap dan 545,907 orang ditahan kerana melanggar peraturan haji.

Sementara itu, cuaca di Makkah diramal menyaksikan suhu melampau dan kelembapan yang tinggi pada hari Isnin.

Menurut meteorologi, ribut pasir dan hujan cenderung melanda Makkah sehingga petang Isnin.

Hussain Al-Qahtani, jurucakap pihak berkuasa berkata, turun naik suhu cuaca yang berlaku hari ini akan berterusan sehingga esok petang kerana suhu tinggi dan kadar kelembapan yang tinggi akan mencapai kemuncaknya pada sebelah petang. – MalaysiaGazette