Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meninjau papan penerangan pada Lawatan Tapak Projek River Of Life (RoL) di Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah tetap yakin projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) akan siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, walaupun terdapat beberapa masalah pemasangan yang tergendala berkaitan jaringan kumbahan dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, semua kerja-kerja itu dapat diselesaikan pada tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini loji rawatan kumbahan yang sudah siap mampu memproses sehingga 1.1 juta person equivalent (PE).

“Dalam usaha mencapai kualiti air dalam projek RoL, kita kena tentukan segala air yang masuk dalam sungai-sungai yang terlibat mencapai kualiti kebersihan yang ditetapkan.

“Antara pencemaran yang utama adalah kumbahan dan loji rawatan baharu yang menggunakan teknologi terkini akan merawat sehingga ke tahap 1.1 juta PE dan sebahagian besar kumbahan datang dari Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita dapati loji sudah siap pada hari ini walaupun tergendala gara-gara masalah pemasangan paip berkaitan jaringan yang membawa kumbahan dari Kuala Lumpur dan Selangor yang tidak lagi melalui kolam takungan.

“Walaupun sedikit tergendala, Insya-Allah akan siap sepenuh pada tahun 2019 bagi memastikan projek RoL tercapai pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media selepas mengadakan lawatan di Bunus STP di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau melawat Kolam Batu dan Loji Rawatan Air Sungai.

Khalid turut meninjau Bangunan Lanai Seni selain tapak RoL di Presint 7 dan Kolam Biru.

RoL yang mula menjalani pro­ses pembinaan pada tahun 2011 adalah projek permulaan Greater Kuala Lumpur di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bertujuan mentransformasikan Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi kawasan pinggiran su­ngai berdaya maju serta memiliki nilai ekonomi tinggi.

Kerja-kerja pembersihan su­ngai yang menjadi skop utama projek tersebut menelan belanja seba­nyak RM4.2 bilion dan meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Su­ngai Batu, Sungai Jinjang, Su­ngai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Su­ngai Klang dan Sungai Ke­­rayong sepanjang 110 kilo­meter. – MalaysiaGazette