Jepun lanyak Malaysia
Skuad bola baling wanita Malaysia ditewaskan Jepun dalam aksi kalah mati kumpulan B Sukan Asian 2018 di Jakarta-Palembang semalam.

PALEMBANG – Skuad bola baling wanita kebangsaan dimalukan 64-3 oleh Jepun dalam pusingan kalah mati Kumpulan B pada Sukan Asian 2018 di sini.

Dalam aksi di Stadium Sports POPKI, Cibubur, Timur Jakarta semalam Malaysia terpaksa akur dengan keputusan memalukan itu.

Bagaimanapun Jurulatih Malaysia Syihabuddin Ismail berkata, kekalahan besar kepada Jepun merupakan pengajaran bernilai untuk pasukannya, lapor agensi berita Antara.

Menurutnya, ia memberi peluang kedua kepadanya untuk menambah baik kualiti dan prestasi skuad Kebangsaan Wanita negara.

“Pasukan kita semuanya terdiri daripada atlet muda dengan kurang berpengalaman berbanding pemain Jepun.

“Sudah pasti kekalahan ini satu pengajaran yang berharga untuk pasukan kita,” katanya.

Jepun dilihat lebih agresif dalam memungut mata di atas gelanggang sejak awal permainan.

Skuad Jepun yang dibimbing oleh jurulatih dari Denmark, Ulrik Kirkely mara dengan 32-2 pada  penghujung babak pertama selepas kapten pasukan Malaysia, Atifah Farah berjaya memperdaya penjaga gol Jepun Minami Itano menewaskannya pada minit ke-19 dan 27.

Pada separuh masa kedua, skuad Jepun menggandakan serangan dan memberi tekanan ke atas Malaysia dengan memperolehi 52 mata pada minit ke-55.

Pemain Malaysia, Norsyamini Nazri menambah jaringan ketiga menjadi 59-3.

Kemenangan ke atas Malaysia bermakna Jepun mengungguli kumpulan B bola baling wanita.

“Pasukan Malaysia semuanya terdiri daripada pemain muda yang kurang berpengalaman tetapi saya merasakan mereka masih boleh menjadi pemain yang hebat pada masa akan datang,” kata Kirkley.- MalaysiaGazette