Teo Nie Ching
Teo Nie Ching

PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menafikan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan dilakukan dengan “syarat berantai”

Penafian itu dibuat selepas Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Arif menyatakan bahawa selain kredit dalam subjek Bahasa Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pemegang kelayakan UEC juga harus memenuhi syarat kedua iaitu lulus Matematik, Sejarah dan Sains dalam SPM.

Kredit Bahasa Melayu dalam SPM berserta kelulusan dalam subjek-subjek tersebut, menurut Rais, merupakan syarat minimum untuk memasuki universiti awam.

Nie Ching bagaimanapun menafikan hujahan Rais dan menegaskan bahawa kredit BM dalam SPM merupakan satu-satunya syarat dalam soal pengiktirafan UEC.

“Semasa perbincangan mengenai Manifesto Pakatan Harapan, ahli-ahli jawatankuasa terlibat tidak menyebut untuk memasukkan kelulusan Matematik, Sains dan Sejarah sebagai syarat kemasukan ke universiti awam untuk pemegang kelayakan UEC.

” Apa yang dipersetujui hanyalah kredit dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan pada masa ini “sedang menyempurnakan” proses pengiktirafan UEC.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Rais berkata, UEC harus dinilai supaya ia selari dengan standard kemasukan ke universiti awam. – MalaysiaGazette