Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Ahmad Yakob.

KUALA LUMPURĀ – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengabaian ajaran Islam dan usaha dakwah menjadi punca kepada penyebaran fahaman dan tuntutan songsang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam kalangan masyarakat kini akibat tidak mengambil berat usaha memelihara kesucian Islam di negara ini.

“Sewajarnya kita sebagai umat Islam berusaha untuk memartabatkan Islam bermula dengan diri kita, keluarga dan masyarakat seterusnya negara yang kita cintai ini.

“Segala usaha dakwah dan pelaksanaan undang-undang syariah hendaklah disokong dan didokong sepenuhnya.

“Alhamdulillah, Kelantan sebagai sebuah negeri yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa komited untuk memastikan Islam dapat didaulatkan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aiduladha 1439 hijrah, hari ini.

Ahmad juga menyeru umat Islam di negara ini agar menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. yang diperintahkan Allah supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S.

“Mengambil ibrah daripada pengorbanan agung ini, kita sebagai umat Islam harus melaksanakan pengorbanan demi agama Islam yang tercinta ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau menggesa rakyat Malaysia mendoakan jemaah haji negara ini yang berada di tanah suci agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan beroleh haji mabrur.

“Bagi yang melaksanakan ibadah korban, sama-samalah kita mengikhlaskan diri dalam melaksanakan ibadah yang mulia ini. Semoga segala pengorbanan dan ibadah kita diterima di sisi Allah.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

“Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena hari 9 Zulhijjah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette