Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah (kiri) mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif Diffride, Hannah Yong (kanan) mengenai aplikasi Diffride pada Majlis Pelancaran Aplikasi Diffride di Fahrenheit, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 OGOS 2018

KUALA LUMPUR- “Maaf saya tidak boleh terima (telefon bimbit) ini kerana kami tidak boleh menerima apa-apa hadiah yang melebihi RM500,” kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika menerima cenderamata berupa dua buah telefon bimbit daripada penganjur selepas merasmikan syarikat e-hailing terbaharu, diffride di sini hari ini.

Tindakan tersebut telah mengejutkan penganjur dan tetamu yang hadir di majlis berkenaan.

Meskipun penganjur pada mulanya, memujuk Anthony untuk menerima telefon bimbit jenis Huawei P20 dan Huawei Nova3i itu mereka akhirnya mengalah dan menggunakan telefon peribadi untuk ‘dipinjamkan’ kepada menteri berkenaan bagi menjayakan gimik pelancaran.

“Kami faham tetapi YB (Yang Berhormat) terpaksa menggunakan telefon bimbit lain yang kami pinjamkan kerana kami gimik pelancaran di luar,” kata pengacara majlis.

Semasa sidang media selepas itu, Ahli Parlimen Seremban itu sekali lagi mengulangi kenyataannya untuk tidak menerima apa-apa hadiah ketika hadir ke sebarang majlis.

“Kami mahu cakap serupa bikin dan tidak menerima sebarang cenderamata lagi pun saya sendiri merasakan saya tidak memerlukan apa-apa cenderamata atau hadiah. Sekiranya pihak penganjur mahu saya datang ke majlis anda, saya akan datang,” katanya sambil menerangkan bahawa polisi tersebut diamalkan Pakatan Harapan semenjak menjadi kerajaan pada Mei lalu.

Telefon bimbit jenis Huawei P20 berharga hampir RM3,000 manakala Huawei Nova3i berharga sekitar RM1,200 seunit.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah membuat kenyataan semua yang berkaitan kerajaan termasuk menteri dan penjawat awam tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah kecuali makanan dan bunga. – MalaysiaGazette