Tertuduh, Noraffendi Omar, 45, di bawa oleh anggota polis untuk didakwa dua pertuduhan memperoleh RM735,500 hasil aktiviti pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas pengurus syarikat pengendali kupon makanan yang dilantik oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini atas dua pertuduhan memperoleh RM735,500 hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Tertuduh Noraffendi Omar, 45, didakwa melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu.

Tertuduh sebagai pengurus untuk mengendalikan kupon makanan bagi penumpang yang menghadapi masalah kelewatan penerbangan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pendakwaan setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dr. Gan Chee Keong.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa masing-masing menerima wang berjumlah RM188,000 dan RM547,000 yang merupakan hasil aktiviti pengubahan wang dari dalam akaun sebuah syarikat pembekalan makanan, Raisha Gold Ventures di RHB Bank Bhd, cawangan menara Shell KL Sentral.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di RHB Bank Bhd, cawangan Ground Floor, Lot 348 Sentral, Menara Shell KL Sentral di antara 21 September 2015 dan 19 Mei 2016.

Noraffendi Omar dituduh mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613).

Jika disabit bersalah tertuduh boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim mengendalikan pendakwaan kes manakala tertuduh tidak mewakili mana-mana peguam dalam kes tersebut.

Nik Haslinie juga memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama satu lagi pertuduhan lain yang dihadapi tertuduh di mahkamah tersebut.

Setelah mendengar dan mempertimbangkan permintaan Nik Haslinie, mahkamah menetapkan 18 September sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Chee Keong juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas mendapati tidak ada ahli keluarganya yang hadir ke mahkamah.- MalaysiaGazette