Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali

PETALING JAYA – Calon Pas DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali tidak pernah bercadang untuk terus kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Katanya, beliau bersedia pada bila-bila masa melepaskannya selepas gagal mempertahankan kerusi DUN Selat Klang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, dan baharu semalam merangka surat perletakan jawatan itu.

Katanya, beliau dilantik memegang jawatan itu oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada Jun 2017 hingga tamat tempoh 2020 dengan Nik Nazmi Nik Ahmad yang ketika itu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Ihsan Negeri Selangor sebagai Pengerusi PPAS.

“Ya, saya akan meletakkan jawatan itu. Tidak ada masalah. Baharu semalam saya merangka surat perletakan jawatan. Harap sabar.

“Saya dilantik Ahli Lembaga Pengarah PPAS pun bukan ada elaun bulanan seperti pemegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC). Mereka ini ada elaun. Saya tak ada elaun,” katanya kepada media selepas program ziarah kasih diPusat Dalam Mengundi (PDM) Taman TTDI Jaya dekat sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Dr Halimah wajar meletakkan jawatan itu berikutan PPAS berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), bukan PR lagi.

Perkara sama turut dibangkitkan Penolong Setiausaha Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman yang menempelak Dr Halimah dengan mendakwa beliau tidak berintegriti apabila masih kekal dengan jawatan itu.

Menurut Dr Halimah, sepanjang hampir satu tahun memegang jawatan itu, beliau telah memberikan sumbangan yang membanggakan seperti penganjuran Pesta Buku Selangor di PPAS.

Jelas beliau, pesta buku itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai ‘The Largest Outdoor Reading Event’ yang berjaya mengumpul 15,271 peserta. – MalaysiaGazette