Muhamed Sukri Omar
Muhamed Sukri Omar

PETALING JAYA – Dewan Pemuda Pas Selangor menyifatkan Menteri Besar, Amirudin Shari sebagai terdesak dengan sokongan padu rakyat kepada parti itu sehingga memaksa calon Pas DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali melepaskan jawatan dalam Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ketua Penerangannya, Muhamed Sukri Omar berkata, walaupun jawatan “sukarela” itu tidak ada kaitan langsung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku sekarang, tetapi kerana ketandusan isu, Menteri Besar itu terpaksa membangkitkannya.

“Kita melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang diketuai menteri besarnya amat terdesak dengan sokongan rakyat serta populariti Dr Halimah yang masuk hari ketiga kempen bagi PRK DUN Seri Setia.

“Dia terpaksa menonjolkan isu murahan untuk menjaga reputasinya sebagai menteri besar yang baharu untuk menyaingi  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr Halimah yang sememangnya diketahui oleh rakyat Selangor memegang jawatan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor yang menumpukan soal pendidikan rakyat melalui program SPIESnya.

Katanya, program itu berjaya membawa rakyat dengan agenda pendidikan secara berterusan.

“Dr Halimah ini berjiwa besar, tidak mempunyai sebarang masalah untuk melepaskan jawatan itu. Beliau telah pun bersedia untuk menulis surat perletakan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah .

“Apatah lagi beliau tidak menerima sebarang elaun sebagai salah ALP PPAS dalam “negeri yang kaya” ini,” katanya.

Muhamed Sukri berkata, rakyat sedia maklum ada sesetengah pihak bagaikan “bercakaran dan membunuh karekter” semata-mata merebut limpahan “ghanimah” khazanah negeri.

Katanya, kejujuran Dr Halimah dalam membantu pendidikan kepada rakyat Selangor tanpa sebarang elaun di PPAS, sepatutnya dipandang mulia oleh semua pihak.

“Dewan Pemuda Pas Selangor mengucapkan terima kasih kepada MB Selangor kerana secara tidak langsung telah mempromosikan calon Pas ini dengan isu yang terpaksa dicipta dan akhirnya memakan diri sendiri.

“Rakyat akan melihat terdesaknya Menteri Besar membangkitkan isu ini bagi mengaibkan calon Pas dan dalam masa sama rakyat melihat berjiwa besarnya Dr Halimah melepaskan jawatan sukarela dengan membantu rakyat secara langsung di lapangan.

“Dengan senario ini, diharapkan dapat membuka mata rakyat dan mudah-mudahan Allah memberi hidayah dan kemenangan kepada calon Pas dalam PRK kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette