KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menandatangani perjanjian dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) hari ini
untuk menawarkan pembiayaan terjamin kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SJPP merupakan pentadbir dan pengurus skim jaminan kredit di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Di bawah perjanjian ini, PKS berpeluang mendapat pinjaman bebas cagaran sehingga RM1 juta melalui penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney.

Jumlah ini adalah dua kali ganda jumlah yang disediakan kepada pelanggan sedia ada di bawah pakej UOB BizMoney.

SJPP akan menjamin sehingga 70 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif OUB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney menyediakan tempoh pembayaran balik yang fleksibel,
iaitu selama 18, 24, 36, 48 atau 60 bulan, dengan kadar faedah yang bermula dari 0.54 peratus sebulan.

Dr Nungsari Ahmad Radhi, Pegawai Utama SJPP berkata, kerajaan komited untuk menyediakan sokongan berterusan kepada PKS melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan.

Ini termasuk pelbagai skim terjamin kerajaan yang diuruskan oleh SJPP yang telah memberi manfaat kepada lebih daripada 13,000 perusahaan.

“Fi jaminan kami yang rendah antara 0.5 hingga satu peratus, ditambah dengan jaminan berdaulat pendasar, menawarkan pembiayaan pada kadar yang kompetitif kepada PKS.

“Ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan kemampanan PKS,” katanya. – MalaysiaGazette