Tertuduh, Md Khairol Anuar Mohamad, 32, pemandu bas Rapid KL yang melanggar tujuh kereta sehingga mencederakan empat individu minggu lalu di bawa oleh anggota polis selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah Methamphetamine ke dalam badan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Pemandu bas Rapid KL yang melanggar tujuh kenderaan di Jalan Ampang pada 16 Ogos lalu mengaku bersalah memasukkan dadah jenis syabu dalam badan di Mahkamah Majistret Jenayah 1 Jalan Duta hari ini.

Tertuduh membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Md Khairol Anuar Mohamad,32, didapati memberi kepada diri sendiri dengan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri iaitu jenis Methamphetamine.

Tertuduh dikesan mengambil dadah berkenaan pada jam lebih kurang 7.40 petang bertempat di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah NarkotiK Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 17 Ogos lalu.

Md Khairol Anuar didakwa di bawah seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh di hukum dibawah Seksyen yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Amirul Asyraf Abdul Rashid meminta mahkamah membenarkan wang ikat jamin RM7,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun isteri tertuduh merayu mahkamah supaya mempwrtinbangkan keadaan masalah kesihatan yang dihadapi dirinya serta tanggungan anak berusia lapan bulan dan mengurangkan wang ikat jamin kepada RM3,000 sahaja.

“Yang Arif saya sebagai isteri tampil untuk menjamin suami (tertuduh) saya.

“Saya memohon wang jamin dikurangkan kepada RM3,000 kerana saya tidak bekerja, ada masalah kesihatan tekanan rendah dan mempunyai tanggungan anak tunggal baru berusia lapan bulan.

Noorasyikin selepas mempetimbangkan penjelasan siisteri tertuduh membenarkan Md Khairol diikat jamin dengan wang jamin RM3,000 sambil mengarahkan ahli keluarganya wajib menghadapkan tertuduh di mahkamah sehingga urusan kes mahkamah selesai nanti.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 September untuk laporan kimia patalogi.

Pegawai Penyiasat kes ialah Inspektor T.Yoga Kanesh dari IPD Dang Wangi.

Md.Khairol Anuar dibawa ke mahkamah sekitar pukul 11.40 pagi.

Dalam kejadian pada Khamis lalu pemandu bas Rapid KL yang melanggar tujuh kenderaan dalam kejadian di Jalan Ampang, berdekatan Ampang Point, pada 8.30 malam telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Pemandu berusia 32 tahun itu yang mengalami kecederaan dan dalam keadaan separa sedar telah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Namun pada Jumaat lalu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan pemandu bas Rapid KL berusia 32 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Md Khairol kemudian telah ditahan untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan dijalankan oleh polis Kuala Lumpur dan Selangor. Pemandu itu ditahan oleh polis Ampang memandangkan kejadian pertama berlaku dalam kawasan mereka.

Kejadian itu difahamkan berpunca daripada tindakan pemandu bas berkenaan cuba mengelak melanggar sebuah motosikal beberapa kilometer sebelum persimpangan lampu isyarat AU2 Keramat,” tegas beliau.

Namun, dalam usahanya untuk mengelak motosikal itu, bas berkenaan melanggar bucu sebuah gerai burger di tepi jalan.-MalaysiaGazette