Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki bersalaman dan beramah mesra bersama pengunjung sebuah restoran ketika sesi "walkabout" sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di Cheras Perdana, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2018

BALAKONG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Wong Siew Ki berkata, beliau tidak tergugat dengan sokongan Pas terhadap MCA di kawasan itu.

Biarpun secara jelas pemimpin Pas menyeru agar pengundi parti itu mengenai MCA, PH tidak risau akan perkembangan itu kerana percaya rakyat Balakong bijak dalam memilih siapa calon mereka.

“Saya tidak risau sangat mengenai sokongan Pas terhadap MCA, sebab kerjasama ini bukan dibuat pada hari pertama kempen.

“Saya rasa pengundi Balakong bijak untuk menentukan siapa yang mereka akan sokong. Ini bukan bergantung kepada pemimpin (Pas) suruh undi siapa, jadi pengundi kena undi.

“Saya tidak risau tentang siapa pengundi Pas akan sokong,” katanya selepas melancarkan manifesto peringkat PRK di bilik gerakan DAP hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu, calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali memperoleh 6,230 manakala calon MCA, Lim Chin Wah memperoleh 5,874 undi.

Bagaimanapun jumlah itu gagal menandingi undi Eddie Ng Tien Chee yang mendapat majoriti 35,538 undi.

Pada PRU14 lalu, komposisi pengundi PRK Balakong terdiri daripada 61 peratus pengundi Cina, 29.25 peratus Melayu dan 0.88 peratus lain-lain bangsa.

Dalam pada itu, Siew Ki berkata peratusan pengundi yang turun mengundi pada 8 September depan mungkin rendah berbanding PRU14 lalu.

Ini kerana terdapat sentimen rakyat sudah selesa dengan keputusan yang diraih pada PRU14.

“Sekarang bukan PRU, tapi PRK. Jumlah pengundi yang turun akan lebih rendah jadi saya tidak rasa boleh capai 85 peratus sebagaimana yang dicapai pada PRU.

“Kalau sekarang, saya fikir jumlah pengundi akan capai 60 peratus sahaja, itu sudah bagus buat saya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette