Mohamad Ariff Md Yusoff
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menasihatkan para wakil rakyat supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan selain berbahas secara beradab.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menasihatkan para wakil rakyat supaya meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan selain berbahas secara beradab.

Beliau juga berharap Ahli Parlimen supaya tidak terlalu ‘drama’ walaupun menyedari bahawa rakyat gemar menyaksikan keadaan seperti itu.

Walaupun secara keseluruhannya berpuas hari dengan mutu perbahasan Ahli-ahli Dewan Rakyat, tetapi Mohamad Ariff juga berharap wakil rakyat baharu dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.

Katanya, sesetengah wakil rakyat telah ‘menjadikan’ bahasa Inggeris sebagai bahasa Melayu sehingga menyebabkan pencemaran bahasa.

Beliau berkata, peningkatan penguasaan bahasa Melayu merupakan perkara yang harus diutamakan secara serta-merta oleh wakil rakyat.

“Saya berharap dapat menjadikan Parlimen kita Parlimen yang beraspirasi. Mungkin bukan terkenal di dunia, tetapi haruslah mempunyai nama baik di peringkat Asia Tenggara.

“Parlimen harus menjadi lebih cekap dan matang supaya ia menjadi kebanggaan rakyat,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Berbalas pantun lebih baik daripada berbaling kerusi

Menurut Speaker Dewan Rakyat itu, unsur sastera dalam politik termasuk berbalas berpantun di Parlimen dapat menenangkan keadaan dan adalah lebih baik berbanding berbaling kerusi.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui pergaduhan adalah tidak dapat dielakkan sepenuhnya dalam Parlimen.

“Adalah sukar untuk mengelakkan babak pergaduhan dan bertikam lidah yang dramatik dalam Parlimen, ini kerana rakyat memang mahu lihat benda ini.

” Selagi keadaan terkawal dan wakil rakyat tidak keterlaluan, maka ia boleh diterima,” katanya.

Ditanya pandangan sesetengah Ahli Parlimen bahawa dirinya lebih cemerlang berbanding Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang merupakan Speaker sebelumnya, Mohamad Arif enggan memberi ulasan.

Beliau bagaimanapun berpendapat Pandikar Amin telah banyak berjasa kepada Parlimen dan sumbangannya harus diberi pengiktirafan.

“Yang sudah berlalu biar ia berlalu, sekarang merupakan permulaan baharu dan kerajaan baharu,” katanya.

Tugas Speaker lebih senang berbanding hakim

Ditanya tentang perbezaan antara hakim dan Speaker, Mohamad Ariff yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat, tanggungjawab sebagai hakim lebih sukar dipenuhi.

“Semasa menulis penghakiman, seorang hakim perlu mengambil kira banyak faktor.

“Tekanan bertambah apabila memikirkan bahawa keputusan itu akan menentukan hidup mati seseorang. Ini merupakan keputusan yang amat susah dilakukan.

“Sebagai Speaker pula, saya hanya perlu mengikuti peraturan mesyuarat dan memberi peluang kepada ahli-ahli dewan untuk berbahas,” katanya. – MalaysiaGazette