anjing
Seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit anjing peliharaan daripada baka pemburu “plott hound” milik bapa saudara mangsa di Bachang Selasa lalu.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seorang lelaki disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi semalam akibat Rabies Encephalitis (penyakit anjing gila) di Kuching, Sarawak selepas dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 16 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini, lelaki berusia 44 tahun itu tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari 2018.

Pesakit ketika itu mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau.

Anjing tersebut dilaporkan mati kemudiannya.

“Pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isteri beliau ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi.

“Beliau mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos 2018 dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos 2018.

“Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos 2018 dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia.

“Beliau telah dibawa ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos 2018 dan ujian ke atas sampel klinikal yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) didapati positif bagi jangkitan virus rabies.

“Untuk makluman, buat masa ini isteri kepada pesakit berada dalam keadaan sihat dan telah melengkapkan jadual vaksinasi anti-rabies beliau sebanyak empat dos,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Tambahnya, sejak rabies diisytiharkan wabak di Sarawak pada 30 Jun 2017 sehingga 21 Ogos 2018, jumlah kes dalam kalangan manusia adalah 13 kes termasuk 12 kematian rabies; dengan kadar kematian 92.3 peratus.

Hanya terdapat seorang pesakit yang telah dibenar keluar dari hospital namun dengan komplikasi neurologi yang teruk dan kini dirawat di rumah.

KKM katanya akan terus mempertingkatkan usaha bagi menangani wabak rabies dalam kalangan manusia daripada terus menular.

Namun begitu, usaha tersebut memerlukan kerjasama dari semua pihak yang terlibat dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan dengan berkesan.

KKM dengan itu mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada jangkitan rabies:

  1. Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan tersebut;

2 Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif;

  1. Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bergaul dengan haiwan liar;

  2. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;

  3. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan

6.Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.-MalaysiaGazette